JURULATIH Sassuolo, Alessio Dionisi meraikan  kemenangan bersama  Raspadori dan Maxime Lopez selepas tamat perlawanan. FOTO Reuters
JURULATIH Sassuolo, Alessio Dionisi meraikan kemenangan bersama Raspadori dan Maxime Lopez selepas tamat perlawanan. FOTO Reuters
AFP

Milan: Inter Milan terlepas peluang merampas takhta Serie A selepas tewas mengejut 0-2 di tempat sendiri kepada Sassuolo sekali gus membenarkan AC Milan mengekalkan kedudukan di puncak liga.

Dua jaringan babak pertama menerusi Giacomo Raspadori dan Gianluca Scamacca menghadiahkan kemenangan bergaya Sassuolo di San Siro yang menyebabkan Inter kini dua mata di belakang Milan selepas pencabar setempat itu hanya seri menentang kelab bawahan, Salernitana.

Ia kemenangan terbaharu Sassuolo ke atas salah satu daripada 'big three' Itali selepas menang di Milan dan Juventus musim ini.

"Kami mencipta banyak peluang dan sepatutnya kami mendapat lebih dua gol. Kami tahu kami ada kualiti untuk berdepan mereka," kata jurulatih Sassuolo, Alessio Dionisi kepada DAZN.

"Itu yang kami mahu lakukan dan mendapat hasilnya."

Kelab Simone Inzaghi kehilangan pemain tengah, Marcelo Brozovic dan pertahanan, Alessandro Bastoni susulan penggantungan dan tampak keletihan selepas tewas kepada Liverpool pertengahan minggu lalu.

"Kami akan cuba memulihkan kembali fizikal dan mental. Kami masih berpeluang dan ada 13 lagi perlawanan. Kami akan teruskan perjuangan," kata Inzaghi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 8:31 AM