Marco Verratti (kanan) dan Stefano Sensi dalam skuad Roberto Mancini. FOTO Agensi
Marco Verratti (kanan) dan Stefano Sensi dalam skuad Roberto Mancini. FOTO Agensi
AFP

Milan: Gandingan pemain tengah, Marco Verratti dan Stefano Sensi kedua-duanya disenaraikan dalam skuad Itali bagi Euro 2020 sekalipun mereka berdepan kecederaan, baru-baru ini.

Pengendali Itali, Roberto Mancini menyenaraikan 26 pemain dalam skuadnya menjelang kejohanan yang dijadual berlangsung dari 11 Jun - 11 Julai ini.

Terdapat juga kejutan mengenai penyenaraian penyerang Sassuolo, Giacomo Raspadori, 21, yang belum beraksi buat skuad senior kebangsaan negara itu.

Raspadori bebas beraksi selepas Itali tersingkir daripada kejohanan Bawah 21 tahun Eropah.

Pemain muda itu bakal memberi pilihan di bahagian serangan bersama Ciro Immobile dan Andrea Belotti.

Verratti mengalami kecederaan lutut bulan lalu bersama kelabnya Paris Saint-Germain, dijangka perlu pulih selama enam minggu, yang menyaksikan pemain berusia 28 tahun itu tersisih daripada perlawanan peringkat kumpulan.

Sensi pula mengalami kecederaan paha pada aksi terakhir musim ini beraksi buat juara Serie A, Inter Milan.

Pemain pertahanan veteran Juventus, Giorgio Chiellini dan Leonardo Bonucci turut tersenarai dengan pemain Atalanta, Rafael Toloi berbanding pemain Roma, Gianluca Mancini.

Perancang tengah Atalanta, Matteo Pessina dan sayap Napoli, Matteo Politano kedua-duanya diketepikan.

Selepas gagal layak ke Piala Dunia 2018, skuad Azzuri kini bangkit untuk memburu gelaran kejohanan yang dimenangi pada 1968 itu.

Itali akan berdepan Turki dalam saingan Kumpulan A di Stadio Olimpico Rome pada 11 Jun, di mana mereka turut akan menentang Switzerland dan Wales.

Skuad Itali:

Penjaga Gol: Gianluigi Donnarumma (Milan), Alex Meret (Napoli), Salvatore Sirigu (Torino)

Pertahanan: Francesco Acerbi (Lazio), Alessandro Bastoni (Inter), Leonardo Bonucci (Juventus), Giorgio Chiellini (Juventus), Giovanni Di Lorenzo (Napoli), Emerson Palmieri (Chelsea/ENG), Alessandro Florenzi (Paris Saint-Germain/FRA), Leonardo Spinazzola (Roma), Rafael Toloi (Atalanta)

Tengah: Nicolo Barella (Inter), Bryan Cristante (Roma), Jorginho (Chelsea/ENG), Manuel Locatelli (Sassuolo), Lorenzo Pellegrini (Roma), Stefano Sensi (Inter), Marco Verratti (Paris Saint-Germain/FRA)

Penyerang: Andrea Belotti (Torino), Domenico Berardi (Sassuolo), Federico Bernardeschi (Juventus), Federico Chiesa (Juventus), Ciro Immobile (Lazio), Lorenzo Insigne (Napoli), Giacomo Raspadori (Sassuolo)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 9:52 AM