Erling Braut Haaland. FOTO Agensi
Erling Braut Haaland. FOTO Agensi
Agensi

Madrid: Real Madrid dilaporkan bersedia mengemukakan tawaran akhir buat penyerang Borussia Dortmund, Erling Braut Haaland.

Skuad kendalian Carlo Ancelotti antara beberapa kelab elit Eropah yang dikaitkan dengan penyerang prolifik Norway itu.

Laporan menyatakan wakil pemain berusia 21 tahun itu sudah mengadakan perbincangan bersama Real Madrid selepas kelab gergasi Sepanyol itu melakukan bidaan mereka.

Ejen Haaland, Mino Raiola dilaporkan menjadi wakil dalam perbincangan itu yang diadakan di Monaco.

Real Madrid dijangka berdepan saingan sengit untuk mendapatkan khidmat Haaland dengan Barcelona turut berminat mendapatkan penyerang itu.

Difahamkan Barcelona turut meletakkan beberapa pakej insentif menarik untuk melengkapkan perjanjian mendapatkan Haaland, dengan pengendali Barca, Xavi mahu menjadikan ia sebagai perpindahan utama.

Beberapa kelab Liga Perdana Inggeris turut berminat mendapatkan khidmat Haaland. Ketika Manchester City masih mencari penyerang selepas gagal dalam pemburuan Harry Kane musim panas lalu sementara Manchester United dan Chelsea turut mengikut perkembangan itu.

Madrid turut dikaitkan dengan penyerang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe.

Dalam pada itu, Haaland mempamerkan aksi menakjubkan sejak menyertai Dortmund dari Red Bull Salzburg dua tahun lalu. Dia meledak rekod jaringan 56 gol dalam 57 penampilan buat Dortmund.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 11:57 AM