Haaland (kiri) dan Mbappe jadi buruan kelab elit Eropah.
Haaland (kiri) dan Mbappe jadi buruan kelab elit Eropah.
Agensi

Madrid: Real Madrid dilaporkan merancang perpindahan buat dua pemain iaitu Erling Braut Haaland dan Kylian Mbappe pada musim panas akan datang.

Paris Saint-Germain sudahpun ditawarkan sekitar £197 juta (RM1.1 bilion) dari Real Madrid untuk Mbappe pada hari tarikh tutup perpindahan, tetapi kelab gergasi Paris itu menolak tawaran berkenaan dan menyebabkan penyerang itu terus kekal di ibu kota Perancis.

Dalam pada itu, Borussia Dortmund masih mengekalkan Haaland untuk sekurang-kurangnya satu musim lagi, sekalipun klausa pelepasan £68 juta (RM390j) akan aktif tahun depan.

Menurut Marca, Mbappe dan Haaland berada dalam senarai utama Madrid bagi musim panas akan datang, dengan jangkaan perbincangan membabitkan perjanjian pra kontrak pada Januari disusuli perpindahan percuma.

Laporan itu menambah terdapat juga komunikasi 'positif' bersama Haaland, yang dikatakan teruja dengan peluang untuk beraksi di Bernabeu ketika Real bersedia memperkuatkan pasukan dengan kehadiran pemain itu.

Bagaimanapun, Manchester United didakwa menjadikan Haaland sasaran utama mereka bagi musim panas 2022, sementara laporan berasingan mendapati Manchester City berada di depan bagi mendapatkan khidmat pemain Norway itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 10:11 PM