PENGENDALI baru Harimau Malaya Kim Pan-gon. FOTO Agensi
PENGENDALI baru Harimau Malaya Kim Pan-gon. FOTO Agensi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Teka teki bila pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon akan tiba ke negara ini terjawab apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan jurulatih dari Korea Selatan sudah pun tiba ke tanah air semalam.

Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, jurulatih 'k-pop' itu tiba bersama barisan kejurulatihannya kecuali penolong jurulatih dari kelab gergasi La Liga, Barcelona Pau Marti Vicente yang kini menjalani kuarantin di Barcelona, Sepanyol.

Saifuddin berkata, jurulatih berkenaan akan menjalani tempoh kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum memulakan tugasannya bersama skuad Harimau Malaya kelak.

"Saya sahkan Pan-gon sudah tiba dan kini sedang menjalani tempoh kuarantin. Selepas tempoh berkenaan, kami akan panggil media untuk umumkan beberapa perkara termasuklah membabitkan pembantu jurulatih tempatan.

"Pau Marti pula belum tiba lagi kerana beliau perlu menjalani tempoh kuarantin di negara sana(Sepanyol) sebelum datang ke Malaysia," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, Pan-gon, 53 dilantik membimbing skuad negara dengan kontrak dua tahun bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatannya susulan kegagalan di Piala AFF di Singapura.

Selain Pau Marti selaku penolong jurulatih, Pan-gon turut membawa tiga lagi jurulatih iaitu Cho Jun Ho (jurulatih penjaga gol), Dr Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (penganalisis) serta seorang penolong jurulatih dari kalangan anak tempatan untuk memudahkan Pan-gon memahami budaya dan suasana bola sepak negara.

Sementara itu, berkaitan perlawanan persahabatan, Saifuddin berkata, pihaknya menyerahkan kepada Pan-gon untuk memilih negara yang dilihat bersesuaian dengan skuad Harimau Malaya.

Walaupun Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) sudah mengesahkan bakal mengadakan perlawanan persahabatan bersama Malaysia namun FAM ketika ini masih lagi mempertimbangkan perkara itu sebelum membuat pengumuman rasmi.

"Kita memang dah buat beberapa perancangan untuk mengadakan perlawanan persahabatan pada Mac dan pada ketika ini sudah menerima enam jemputan.

" Pengarah Teknikal baharu FAM Scott O'Donell akan mengadakan perbicangan bersama Pan-gon untuk memilih negara untuk skuad Harimau Malaya beraksi kelak.

"Tempoh kalendar Fifa(Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) nanti hanya dua perlawanan persahabatan saja dan kemungkinan besar tidak akan berlangsung di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 1:19 PM