KIM Pan Gon (tengah) selepas sidang media pengumuman barisan kejurulatihan Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya. Turut hadir, (dari kiri) jurulatih penjaga gol, Cho Junho, jurulatih kecergasan  Dr Gokhan Kandemir, penolong jurulatih Pau Marti Vicente dan jurulatih analisis prestasi, Lim Jaehun. FOTO Asyraf Hamzah
KIM Pan Gon (tengah) selepas sidang media pengumuman barisan kejurulatihan Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya. Turut hadir, (dari kiri) jurulatih penjaga gol, Cho Junho, jurulatih kecergasan Dr Gokhan Kandemir, penolong jurulatih Pau Marti Vicente dan jurulatih analisis prestasi, Lim Jaehun. FOTO Asyraf Hamzah
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Pengendali baharu skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengakui pasukan negara memiliki keistimewaan dan potensi untuk menggegar arena bola sepak antarabangsa dan yakin mampu mengubah kelemahan itu.

Bagaimanapun, ia terpulang kepada pemain untuk mengikut dan memahami falsafah serta corak pemainan bola sepak moden yang akan diterapkan olehnya nanti.

Katanya, antara kelemahan ketara perlu diberi perhatian adalah masalah keyakinan diri yang menjadi halangan mengapa skuad negara sering gagal di peringkat antarabangsa.

"Sebenarnya saya menghormati jurulatih sebelum ini yang sudah melakukan kerja sangat baik. Tapi saya ada falsafah sendiri dan ingin membaiki beberapa perkara termasuk soal mental.

"Pemain Malaysia ada potensi yang baik tapi mereka tidak berapa yakin dengan diri sendiri. Jika yakin dengan diri sendiri, saya percaya mereka boleh capai sesuatu sehingga ke peringkat tertinggi di rantau ini. Saya yakin mengenai itu.

"Saya mampu bantu pasukan dan saya yakin pasukan mampu jadi kuat dengan berbekalkan semangat berpasukan dan beraksi sebagai satu unit. Kita akan dedahkan dengan permainan bola sepak moden dan beri tunjuk ajar bagaimana untuk bermain. Jika mereka memahami apa yang didedahkan dengan baik, saya yakin kita boleh berubah," katanya pada sidang media pertamanya selaku pengendali negara di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, hari ini.

Terdahulu, Pan-gon yang berasal dari Korea Selatan dilantik bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang meletak jawatan awal bulan lalu selepas gagal di saingan Piala AFF di Singapura, Disember tahun lalu.

Pada sidang media sama, bekas jurulatih kebangsaan Hong Kong itu turut memperkenalkan empat lagi barisan kejurulatihan terdiri daripada iaitu Pau Marti Vicente selaku penolong jurulatih, Cho Jun Ho (jurulatih penjaga gol), Dr Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (penganalisis).

Mengulas lanjut, Pan-gon mengakui tidak gentar dengan cabaran yang bakal dilaluinya dan bersedia mengharungi untuk membantu pasukan kebangsaan.

"Saya suka cabaran dan sebagai jurulatih kebangsaan, ia akan datang dengan tekanan tinggi. Setiap rakyat dari seluruh negara fokus kepada skuad kebangsaan dan ia satu cabaran yang saya ambilnya dengan positif. Saya pikul tugas ini dan anggap ia penghargaan terbesar, di mana tak semua (jurulatih) sanggup ambil cabaran ini," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 4:28 PM