Pemain import dari Cameroon, Ronald Ngah Wanja penyerang baharu KDA FC. FOTO FB KDA FC
Pemain import dari Cameroon, Ronald Ngah Wanja penyerang baharu KDA FC. FOTO FB KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Persiapan semakin rancak dilakukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) apabila mengesahkan penjaring terbanyak Liga Jordan, Ronald Ngah Wanja sebagai penyerang import baharu skuad Hijau Kuning bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim ini.

Dengan pengumuman yang dikeluarkan oleh media rasmi KDA FC melalui satu klip video semalam, Ngah yang pernah beraksi untuk kelab Al-Salt SC kini bakal mengetuai jentera serangan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak sekali gus mengisi kekosongan posisi penyerang utama yang sebelum ini digalas Kpah Sherman yang telah berhijrah ke Terengganu FC pada musim ini.

"Ronald Ngah Wanja, 30, dari Tiko, Cameroon adalah pemain penyerang yang banyak beraksi di kelab Timur Tengah Asia. Kehadiran beliau sebagai ayam tambatan pasukan amat dinantikan oleh semua peminat skuad Hijau Kuning." katanya.

Wanja yang sudah melengkapkan tempoh kuarantin wajib kemasukan ke Malaysia ini adalah import keempat yang dimuktamadkan KDA FC untuk musim 2022 setakat ini, selepas mengesahkan tiga lagi pemain import iaitu pemain dari Korea Selatan Jang Suk Won, Dechi Marcel (Ivory Coast) dan Dennis Buschening (Thai Jerman) sebelum ini.

Sebelum ketibaan Wanja ke Kedah lagi, nama penyerang prolifik berusia 30 tahun ini juga sudah disebut-sebut sejak beberapa minggu lalu dikalangan netizen dengan panggilan 'Pak Ngah' untuk bakal bersama skuad kendalian Aidil Sharin ini.

Wanja pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Cameroon pada 2016 dan beliau telah membuktikan kewibawaan apabila meledak hampir separuh gol bersama kelab Al-Salt dalam kempen liga musim lalu dengan rekod 15 gol dari keseluruhan 32 gol untuk membantu kelab berkenaan menamatkan musim di kedudukan ketiga.

Beliau yang pernah beraksi bersama kelab Cotton Sport di Cameroon ini juga memegang rekod jaringan sebanyak lima gol dalam satu perlawanan semasa beraksi dalam kejohanan kejuaraan Elite 1 Cameroon dan telah membuktikan bahawa beliau merupakan peledak yang hebat.

Pada musim lalu pula beliau mencetak 19 gol dalam 24 perlawanan membabitkan semua kejohanan yang dipertandingkan bersama kelab Al-Salt di Liga Jordan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 3:07 PM