Pemain Bayern Munich menjulang trofi Liga Juara-Juara dua tahun lalu. FOTO FCBayern
Pemain Bayern Munich menjulang trofi Liga Juara-Juara dua tahun lalu. FOTO FCBayern
Reuters

London: Bayern Munich menjadi kelab tunggal dengan gelaran juara di liga utama Eropah meraih keuntungan pada musim 2020-21 yang terganggu kerana pandemik Covid-19, menurut kajian firma KPMG.

Juara Bundesliga itu meraih keuntungan selepas cukai 1.8 juta Euro (RM8.56 juta) sambil mencatatkan nisbah kos untuk kakitangan terendah daripada pendapatan operasinya pada sekitar 58 peratus.

"Ketika pembukaan semula stadium dan perjanjian komersil besar ditandatangani mungkin memberikan sedikit rasa optimis ... pandemik hanya menunjukkan isu kesukaran dan kerapuhan dalam ekosistem bola sepak," kata ketua sukan global KPMG, Andrea Sartori.

Mengambil contoh masalah yang berlaku, pemenang Serie A, Inter Milan mencatatkan kerugian tahunan 245.6 juta Euro (RM1.16 bilion) daripada pendapatan operasi 347.5 juta (RM1.65 bilion).

Juara La Liga, Atletico Madrid rugi 111.7 juta Euro (RM530.94 juta) daripada pendapatan 349.6 juta (RM1.661 bilion).

Mendahului jumlah pendapatan ialah juara Liga Perdana, Manchester City yang menjana 644.2 juta Euro (RM3.06 bilion), meningkat 17 peratus berbanding musim sebelumnya.

City mara ke final Liga Juara-Juara musim lalu, juga mengatasi pendapatan pencabar dari bandar yang sama, Manchester United (557 juta Euro) buat kali pertama.

Bayern kedua di belakang City dengan pendapatan 597.5 juta Euro (RM2.84 bilion) manakala juara Super Lig Turki, Besiktas mencatatkan pendapatan terendah antara lapan kelab juara dengan 59 juta Euro (RM280 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 11:21 AM