CITY menduduki tempat pertama dengan nilai €4.073 bilion (RM20.25 bilion). FOTO AFP
CITY menduduki tempat pertama dengan nilai €4.073 bilion (RM20.25 bilion). FOTO AFP
AFP

Istanbul: Manchester City dinobatkan sebagai kelab bola sepak paling bernilai di Eropah, mengetepikan Real Madrid, menurut laporan yang diterbitkan pada hari Khamis, sebelum final Liga Juara-Juara pada hujung minggu ini.

Laporan Football Benchmark menilai 32 kelab paling utama di Eropah berdasarkan beberapa kriteria termasuk penyata kewangan, nilai pasukan dan saiz pasaran penyiaran mereka.

City, yang akan berdepan dengan Inter Milan dalam final Liga Juara-Juara pada Ahad di Istanbul itu menduduki tempat pertama dengan nilai €4.073 bilion (RM20.25 bilion).

Angka itu mengatasi Madrid, juara Eropah tahun lalu yang bernilai sedikit di belakang dengan €4.006 bilion (RM19.91 bilion).

Gergasi Sepanyol itu menjadi juara selama empat tahun berturut-turut sebelum ini.

"City mendaki ke kedudukan yang lebih tinggi dalam ranking ini dan naik lima kedudukan berbanding edisi 2022, terutamanya dalam prestasi kewangan yang luar biasa pada tahun kewangan 2021/22," kata laporan itu.

City, yang diambil alih Kumpulan Abu Dhabi United pada tahun 2008 mencatatkan pendapatan sebanyak £613 juta (RM3.5 bilion) untuk musim lalu iaitu jumlah pendapatan kedua tertinggi dalam sejarah kelab bola sepak England selepas pendapatan tahunan Manchester United mencapai £627 juta (RM3.6 bilion) pada 2019.

Pada Februari, kelab itu dituduh oleh Liga Perdana Inggeris dengan 115 kesalahan yang didakwa melanggar peraturan kewangannya antara tahun 2009 dan 2018.

Kes berkenaan tidak mungkin diselesaikan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 1:48 PM