MUHAMMAD Hairiey (dua kanan) tekad memperagakan aksi terbaik menentang Thailand pada perlawanan terakhir Kumpulan J esok. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
MUHAMMAD Hairiey (dua kanan) tekad memperagakan aksi terbaik menentang Thailand pada perlawanan terakhir Kumpulan J esok. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pertahanan skuad kebangsaan Bawah 22 Tahun (B-22), Muhammad Hairiey Hakim Mamat akui pertemuan dengan Thailand pada aksi terakhir esok adalah ujian sebenar pasukannya dalam kempen Kelayakan Piala Asia Bawah-23 (B-23) Kumpulan J di Ulaanbaatar, Mongolia selepas merakam dua kemenangan menentang Laos dan Mongolia.

Bek kiri Terengganu FC II (TFC II) berusia 21 tahun itu menyifatkan peluang kedua-dua pasukan untuk merakam kemenangan adalah seimbang sekali gus berpeluang cerah untuk menjuarai kumpulan.

Bagaimanapun pemain kelahiran kampung Titian Baru, Kedai Buluh Kuala Terengganu itu akui dia dan rakan sepasukannya sudah bersedia untuk berdepan dengan skuad 'Changsuek' atau 'Gajah Perang' itu walaupun pertemuan sukar.

"Semangat satu pasukan kami kian terserlah selepas berjaya merakam kemenangan 1-0 menumpaskan Laos pada Isnin lalu dan tuan rumah, Mongolia juga dengan keputusan yang sama pada Khamis dengan kedua-dua jaringan dihasilkan rakan sepasukan dalam pasukan TFC II, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar.

"Jadi pertemuan dengan Thailand, kami satu pasukan tekad untuk bermain bermati-matian dengan menyajikan aksi terbaik buat rakyat Malaysia walaupun kita tahu lawan sukar ditewaskan lebih-lebih lagi skuad itu mempunyai empat pemain yang beraksi di Eropah.

"Tapi peluang kami tetap ada untuk meneruskan momentum kemenangan ketiga berturut-turut selain percaya ketua jurulatih, Brad Maloney sudah merangka strategi terbaik berdepan Thailand selain pasti beliau sudah dapat menilai kekuatan dan kelemahan skuad itu pada dua aksi terdahulu," katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Mengulas lanjut, pemain yang lebih mesra dipanggil Saha itu yang beraksi sehingga minit ke-75 ketika menentang Mongolia menasihati dirinya dan rakan sepasukan agar tidak cepat berpuas hati dengan prestasi semasa walaupun berjaya merakam kemenangan pada dua aksi terdahulu selain kekal tanpa bolos.

"Bagi diri saya sendiri pun ada lagi kelemahan yang perlu diperbaiki, sejujurnya saya belum berpuas hati dengan prestasi semasa saya, tapi jika sekali lagi diberi tanggungjawab, saya tekad untuk membalas kepercayaan jurulatih kelahiran Australia itu," katanya.

Pasukan negara yang kini memimpin carta kumpulan dengan mengutip enam mata hanya memerlukan seri untuk menjuarai kumpulan sekali gus layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada Jun 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 6:20 PM