SYAFIK Ismail (tiga kanan) sedia menggalas tanggungjawab bertemu Laos petang esok. FOTO Ihsan FAM
SYAFIK Ismail (tiga kanan) sedia menggalas tanggungjawab bertemu Laos petang esok. FOTO Ihsan FAM
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


Kuala Terengganu: Pemain skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara, Muhammad Syafik Ismail sedia memikul tanggungjawab lebih besar jika diberi kepercayaan mengisi posisi sayap kiri pasukan berdepan dengan Laos petang esok.

Malah pemain yang kian menyerlah bersama Terengganu FC II (TFC II) itu sedia beraksi 90 minit perlawanan jika diberi peluang oleh pengendali kebangsaan, Brad Maloney.

Bagaimanapun pemain bertubuh kecil berketinggian 1.58 meter kelahiran Marang itu sedar bukan tugas mudah beraksi dalam cuaca agak sejuk bawah 10 darjah selcius.

"Semua pemain sudah pasti tidak sabar untuk turun ke padang termasuk saya berdepan dengan Laos apatah lagi ia bakal menjadi penampilan pertama dalam karier bersama skuad kebangsaan.

"Namun cabaran bukan sahaja dengan pasukan lawan, cuaca sejuk juga bakal menjadi antara cabaran yang perlu kami harungi apabila berkunjung ke Stadium Persekutuan Bolasepak Mongolia (MFF), petang esok.

"Bagaimanapun kami tidak mahu cuaca sejuk itu sebagai penghalang buat kami untuk memperagakan aksi terbaik bagi memburu kemenangan pada aksi pertama itu.

"Begitu juga dengan padang rumput tiruan di stadium berkenaan, kami sudah biasa mengadakan latihan di Malaysia, jadi ia bukan perbezaan ketara buat kami beraksi di stadium berkenaan dan sejujurnya kami sudah bersedia," katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Ketika ditanya mengenai keserasian antara pemain, bekas pemain Terengganu FC (TFC) musim lalu itu akui semakin serasi selepas lebih sebulan menyertai kem latihan pusat kebangsaan selain enam lagi rakan sepelatihnya daripada pasukan TFC dan TFC II 'diborong' Maloney.

Skuad negara yang diundi dalam Kumpulan J bersama tuan rumah, Mongolia, Laos dan Thailand bakal membuat penampilan pertama petang esok menentang Laos sebelum turun berdepan tuan rumah pada 28 Oktober sebelum mengakhiri kempen Kelayakan Piala Asia B-23 itu menentang Thailand pada 31 Oktober dalam misi memburu tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada Jun tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 1:41 PM