REAKSI Messi selepas dikeluarkan ketika menentang Lyon.  FOTO AFP
REAKSI Messi selepas dikeluarkan ketika menentang Lyon. FOTO AFP
AFP

Paris: Jurulatih Paris Saint-Germain, Mauricio Pochettino mempertahankan tindakannya mengeluarkan Lionel Messi ketika menewaskan Lyon 2-1 dalam aksi Ligue 1 di tempat sendiri awal pagi tadi.

Bekas bintang Barcelona itu cemerlang pada babak pertama di Parc des Princes tetapi prestasinya mula menurun selepas rehat dan digantikan dengan Achraf Hakimi pada 15 minit terakhir ketika kedudukan 1-1.

Lucas Paqueta meletakkan Lyon di depan pada minit ke-54 sebelum Neymar menyamakan kedudukan menerusi penalti pada babak kedua dan gol kemenangan PSG hasil tandukan pemain gantian, Mauro Icardi pada masa kecederaan.

"Semua orang tahu kami miliki ramai pemain hebat, skuad 35 orang. Ia keputusan saya tetapi kami hanya boleh menurunkan 11 pemain pada satu-satu masa,'' kata Pochettino.

"Saya hanya fikir keputusan terbaik dalam setiap perlawanan, untuk setiap pemain sama seperti dilakukan setiap jurulatih.

"Kami di sini untuk membuat keputusan. Ada kalanya pemain suka dengannya dan kadang-kadang tidak.''

Messi yang tampak tidak puas hati enggan bersalaman dengan Pochettino ketika dia menuju ke tempat duduk pemain.

Pochettino menafikan pemenang enam kali Ballon d'Or tidak gembira dan berkata: "Saya tanya keadaannya dan dia berkata ok, tiada masalah.''

Messi yang sepakan percumanya terkena tiang pada babak pertama masih lagi memburu gol sulungnya sejak menyarung jersi PSG.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 7:38 AM