Penyerang Kedah, Kpah Sherman (kiri) melepasi kawalan pemain Melaka dalam aksi Piala Malaysia. FOTO Ihsan KDA FC
Penyerang Kedah, Kpah Sherman (kiri) melepasi kawalan pemain Melaka dalam aksi Piala Malaysia. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) gagal meneruskan momentum kemenangan apabila tewas kepada Melaka United FC (MUFC) 1-3 pada aksi kedua dalam Kumpulan C saingan TM Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, malam ini.

Walaupun Kedah mendahului dengan satu jaringan di awal babak perlawanan, Melaka United membuktikan penguasaannya apabila berjaya bangkit dengan tiga gol kemudian dan seterusnya mengutip tiga mata untuk mendahului pasukan dalam Kumpulan C setakat ini.

Tuan rumah membuka tirai jaringan dengan gol seawal minit ke-6 melalui penyerang utama Kpah Sherman yang menolak bola di depan pintu gawang Melaka United selepas mendapat hantaran pantas Kipre Tchetche dari ruang kiri pintu gol.

Melaka cuba bangkit melalui percubaan penyerang Adriano Aparecido pada minit ke-20 yang melakukan gerakan dari sebelah kanan gawang Kedah namun penjaga gol Kedah Ifwat Akmal tangkas menghalang percubaan itu.

Selang tiga minit kemudian, usaha Melaka untuk menghasilkan gol membuahkan hasil apabila percubaan pemain import dari Haiti, Sony Norde berjaya menewaskan Ifwat Akmal dengan rembatan ke penjuru kiri gawang Kedah.

Melaka terus mengejutkan Kedah dengan gol kedua mereka melalui jaringan kencang Manuel Ott pada minit ke-38 yang sebelum itu mendapat lorongan yang baik daripada Adriano dan kedudukan Melaka mendahului 2-1 itu kekal hingga ke hujung babak pertama.

Bermula babak kedua, Manuel Ott sekali lagi menambah duka Kedah untuk gol ketiga Melaka pada minit ke-52 melalui jaringan jarak jauh tepat ke penjuru kanan gawang Kedah sekali gus menewaskan Ifwat Akmal.

Kedah yang ketinggalan dua gol terus berusaha bangkit dengan percubaan tandukan penyerang Kipre Tchetche pada minit ke-58 dan pemain gantian Fayadh Zulkifli pada minit ke-86 namun penjaga gawang Khairul Fahmi Che Mat lebih bersedia di depan gawang.

Kedudukan Kedah 1 Melaka 3 kekal hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 11:17 PM