MIKEL Arteta. FOTO AFP
MIKEL Arteta. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkata adalah menjadi tanggungjawab kelab untuk memastikan penyokong mereka teruja menghadapi cabaran baharu Liga Perdana di sebalik tidak berbelanja besar dalam usaha memenangi gelaran utama.

Gunners gagal layak ke Liga Juara-Juara sejak lima musim lalu apabila menamatkan saingan liga di kedudukan kelapan sepanjang dua musim Arteta membimbing kelab itu.

Ia memberi kesan kepada jendela perpindahan pemain dengan Arsenal tidak dapat menandingi perbelanjaan besar dilakukan oleh Manchester City dan Manchester United.

Arteta sudah mengukuhkan skuad dengan berbelanja sekitar £50 juta (RM292 juta) bagi mendapatkan Ben White; pemain tengah, Albert Lokonga dari Anderlecht dan pertahanan Benfica, Nuno Tavares.

"Pada jendela perpindahan pertama saya rasa kami sudah mendapatkan beberapa pemain dan diharap dapat membantu pasukan meraih kedudukan lebih baik," kata Arteta.

Cubaan untuk mengukuhkan bahagian tengah belum menampakkan hasil di sebalik dikaitkan dengan James Maddison, Martin Odegaard dan Houssem Aouar, manakala perbincangan dengan Sheffield United untuk menandatangani penjaga gol, Aaron Ramsdale nampaknya sudah berakhir.

Bagaimanapun Arteta berharap dapat menambah beberapa pemain baharu sebelum berakhir bulan ini untuk menambah keterujaan penyokong menjelang aksi di Emirates.

"Penyokong perlu berasa gembira dan mahu melihat pasukan mampu bersaing dengan pasukan hebat kerana sejarah kelab ini berkaitan dengan semua itu.

"Tiada siapa yang boleh menafikannya. Itulah matlamat dan objektif utama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 7:49 AM