ARTETA mahu tambah kreativiti dalam pasukannya. FOTO AFP
ARTETA mahu tambah kreativiti dalam pasukannya. FOTO AFP
Agensi

London: Folarin Balogun dilaporkan salah seorang daripada 11 pemain yang mahu dilepaskan pegendali Arsenal, Mikel Arteta.

Gunners tahu mereka perlu membebaskan beberapa pemain ketika jendela perpindahan musim sejuk dalam usaha mendapatkan dana bagi membeli pemain utama.

Perancang Norwich, Emiliano Buendia dipercayai sasaran utama kelab London itu ketika Arteta mahu menambahkan kreativiti dalam skuadnya.

Tetapi Arsenal perlu terlebih dahulu perlu mengecilkan pasukannya dengan laporan mendakwa Arteta merancang rombakan besar-besaran termasuk melepaskan 11 pemain.

Bekas ketua pasukan Arsenal itu mahu sehingga lapan pemain dijual pada Januari dan jendela perpindahan musim panas.

Mesut Ozil, Sokratis, Sead Kolasinac dan Shkodran Mustafi antara yang bakal 'dibuang'.

Konstantinos Mavropanos dan Lucas Torreira yang dipinjamkan ke Stuttgart dan Atletico Madrid juga bakal beraksi kali terakhir bersama Gunners.

Selain itu Calum Chambers mungkin turut ditunjukkan jalan keluar bersama Mohamed Elneny walaupun kelab tampak berminat mengekalkan pemain Mesir itu bulan ini.

Namun mengejutkan juga apabila graduan akademi Joe Willock, Reiss Nelson dan penyerang remaja Balogun turut dikatakan bakal dilepaskan.

Ketiga-tiga tampil menyerlah dalam aksi Liga Europa musim ini namun jarang diturunkan dalam aksi Liga Perdana.

Laporan mendakwa Willock atau Nelson bakal digunakan sebagai tawaran untuk membawa Buendia ke utara London.

Penyokong sudah pasti kecewa menyaksikan Balogun meninggalkan Emirates selepas meledak dua jaringan dalam kejohanan kelas dua Eropah itu.

Swansea difahamkan berminat membawa pemain itu ke Stadium Liberty secara pinjaman manakala Liverpool pula sedia mendapatkannya dengan percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 9:48 PM