Odegaard pemain kebangsaan Norway beraksi cemerlang ketika dipinjamkan di Gunners. FOTO Agensi
Odegaard pemain kebangsaan Norway beraksi cemerlang ketika dipinjamkan di Gunners. FOTO Agensi
Agensi

London: Arsenal masih berusaha mendapatkan khidmat pemain tengah Real Madrid, Martin Odegaard secara tetap dengan yuran perpindahan dianggarkan bernilai £30 juta (RM174.5 juta).

Bagi melengkapkan perjanjian membabitkan pemain berusia 22 tahun yang dipinjamkan ke Emirates musim lalu itu masih banyak perkara yang perlu dilakukan.

Odegaard yang menyertai Real Madrid pada 2015, hanya melakukan lapan penampilan liga di kelab Sepanyol itu dan turut dipinjamkan ke Heerenveen, Vitesse dan Real Sociedad sebelum ke Arsenal.

Pemain kebangsaan Norway itu melakukan 20 penampilan dan menjaringkan dua gol dalam semua kejohanan buat skuad kendalian Mikel Arteta, musim lalu.

Arteta memberi bayangan pada penghujung musim lalu bahawa dia mahu pemain Norway itu kembali ke Emirates sebagai pemain tetap dan perancangan menambah lebih ramai pemain ditandatangani dalam skuadnya sebelum tarikh tutup jendela perpindahan pada 31 Ogos ini.

Odegaard mungkin menyertai Ben White, Albert Sambi Lokonga dan Nuno Tavares sebagai pemain yang ditandatangani pengendali dari Sepanyol itu musim ini.

Arsenal akan berdepan Chelsea pada Ahad dan Odegaard perlu didaftarkan esok sebelum dapat berada dalam senarai pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 1:08 PM