PEMAIN tengah Lens, Gael Kakuta (kiri) mencabar pemain tengah PSG, Marco Verratti. FOTO AFP
PEMAIN tengah Lens, Gael Kakuta (kiri) mencabar pemain tengah PSG, Marco Verratti. FOTO AFP
AFP

PARIS Saint-Germain (PSG) memulakan aksi musim baharu dengan amat buruk selepas kelab yang terkesan akibat Covid-19 itu tewas mengejut 0-1 kepada pasukan yang baharu naik ke Ligue 1, Lens.

PSG hadir pada perlawanan pertama itu tanpa tujuh pemain yang positif Covid-19 termasuklah Neymar dan Kylian Mbappe.

Mereka menggunakan penjaga gol ketiga, Marcin Bulka yang menjadi punca Lens meraih kemenangan selepas melakukan kecuaian 11 minit bersambung babak kedua.

Tanpa menerima sebarang tekanan, Bulka melakukan hantaran lemah kepada Marci Verratti tetapi berjaya dirampas oleh Ignatius Ganago yang kemudian memanfaatkan peluang terbaik itu untuk menjaringkan gol dari jarak dekat.

Jaringan berkenaan adalah gol pertama pemain antarabangsa Cameroon itu untuk kelab baharunya selepas berhiijrah dari Nice, Julai tahun lalu sekali gus menggembirakan kira-kira 3,800 penyokong yang menyaksikan perlawanan di Stade Bollaert-Delelis.

"Saya sangat gembira. Akhirnya saya berjaya menjaringkan gol dan harap dapat menjaringkan lebih banyak gol lagi.

"Walaupun tanpa Neymar atau Mbappe, PSG tetap beraksi dengan baik. Kami juga mempamer aksi terbaik dan bekerjasama bersama-sama. Usaha ini akhirnya membuahkan hasil," kata Ganago.

Wabak Covid-19 nyata menyukarkan skuad bimbingan Thomas Tuchel dengan Angel Di Maria dan Leandro Paredes turut didapati positif.

PSG turut mengesahkan tiga lagi kes terbaharu membabitkan penyerang Argentina, Mauro Icardi; pertahanan Brazil, Marquinhos dan penjaga gol, Keylor Navas.

Selain daripada Mbappe, kesemua yang lain dijangkiti wabak itu selepas bercuti di Ibiza sebaik tewas kepada Bayern Munich pada aksi final Liga Juara-Juara di Lisbon bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 7:54 AM