AB Rasid Jusoh (kanan). FOTO Ghazali Kori
AB Rasid Jusoh (kanan). FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak yang mampu memuatkan lebih 30,000 penonton kini sudah bersedia untuk menjadi tuan rumah Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim ini.

Aksi pertama bakal berlangsung pada 20 September ini membabitkan pertemuan Terengganu FC (TFC) menentang juara Liga Australia musim lalu, Central Coast Mariners sebelum menanti kunjungan kelab Filipina, Stallion Laguna FC pada 26 Oktober dan kelab Indonesia, Bali United pada 13 Disember depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, pihak pengurusan sudah bersedia untuk menjadi tuan rumah kejohanan peringkat berstatus Asia itu.

Jelasnya, dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 pada Jun lalu membabitkan pertemuan skuad kebangsaan menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea memberikan impak yang positif buat pihak pengurusan.

"Ucapan setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh entiti serta jabatan yang terlibat dalam usaha yang bersungguh-sungguh dan tidak putus-putus untuk menjadikan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai venue rasmi bagi pasukan ini dalam saingan Piala AFC.

"Pihak TFC Sdn Bhd juga ingin mengucapkan penghargaan buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang banyak membantu untuk memastikan kejohanan ini dapat dilangsungkan di stadium kita ini.

"Dengan usaha serta kerjasama yang telah diberikan oleh kerajaan negeri Terengganu melalui pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), segala peraturan serta keperluan yang telah ditetapkan oleh badan penganjur dapat dinaik taraf dan dipenuhi untuk memastikan kejohanan yang akan berlangsung nanti dapat berjalan dengan lancar.

"Semestinya berita ini bakal menambahkan lagi semangat bukan sahaja buat para pemain, namun buat seluruh penyokong TFC yang semestinya ingin hadir memberikan sokongan padu buat pasukan ini selepas 12 tahun kita tidak berada di pentas Asia.

"Pada masa sama kami beruntung kerana banyak pengajaran dan pengalaman yang dapat kami kutip daripada dua siri perlawanan persahabatan peringkat antarabangsa itu melibatkan pasukan Harimau Malaya apabila FAM memilih stadium ini sebagai gelanggang pemanas badan pada Jun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 5:20 PM