HABIB teruja dan bagaikan tidak sabar untuk menyarung jersi skuad Penyu. FOTO Ihsan TFC
HABIB teruja dan bagaikan tidak sabar untuk menyarung jersi skuad Penyu. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kejayaan pasukan Terengganu FC (TFC) menempatkan diri dalam kelompok pasukan teratas Liga Super selain melayakkan diri beraksi dalam saingan Piala AFC musim ini adalah antara faktor pemain import baharu, Habib Haroon memilih skuad itu.

Faktor peminat setia skuad Penyu juga menyaksikan pemain dari Bahrain berusia 21 tahun bagaikan jatuh hati dengan skuad kendalian Nafuzi Zain itu.

Habib yang baharu tiba di Kuala Terengganu mengakui teruja dan bagaikan tidak sabar untuk menyarung jersi skuad Penyu selepas tamat menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di Kuala Lumpur.

"Saya pilih pasukan TFC kerana kelab itu adalah salah sebuah pasukan yang besar dalam Liga Malaysia (Liga M) dan mempunyai kedudukan yang baik dalam saingan Liga Super selain bakal beraksi dalam saingan Piala AFC.

"Saya juga gembira suasana di Terengganu dengan penyokong yang sentiasa memberikan sokongan padu, sejak tiba dari Bahrain, mereka tidak putus-putus bertanya khabar, bagi saya penyokong memainkan peranan penting di belakang sebuah pasukan.

"Namun saya perlu meningkatkan permainan bersama pasukan selain menyiapkan diri untuk menghadapi saingan liga di sini lebih-lebih lagi musim pertama bakal beraksi dalam Liga M dan sememangnya saya sentiasa bersedia," katanya menerusi video hari ini.

Terdahulu hari ini TFC secara rasmi mengumumkan Habib sebagai pemain import baharu pasukan itu bagi memantapkan lagi skuad itu.Menerusi kenyataan rasmi TFC, bekas pemain kelab Al Khalidiya SC dalam Liga Bahrain itu bakal menyarung jersi bernombor 88.

Kehadiran pemain dari negara Asia Barat itu yang berpengalaman beraksi dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia dan Piala AFC musim lalu dilihat bakal memberi impak positif buat skuad Penyu selain dilihat TFC mempunyai perancangan jangka panjang terhadap pemain muda berketinggian 1.70 meter itu.

"TFC secara rasmi mengumumkan Habib sebagai pemain tengah baharu skuad Penyu bagi mengharungi saingan Liga M musim 2021, pemain muda yang pernah beraksi selama tiga musim dalam Liga Bahrain itu memutuskan untuk menyertai pasukan TFC bagi baki saingan Liga M musim ini, semestinya kehadiran pemain itu bakal memperkuatkan lagi pasukan terutama jentera tengah bagi mengharungi saingan liga dan juga Piala AFC.

"Pemain yang pernah beraksi bersama penyerang Selangor FC, Ifedayo Olusegun dan penyerang Sarawak United, Uche Agba ketika bersama kelab Al Riffa SC dalam Liga Bahrain pada 2019 dijangka bakal menyertai kem latihan pasukan bermula esok di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin Kuala Nerus.

"Pemain yang diikat sehingga hujung musim ini dijangka bakal bergandingan dengan pemain kebangsaan Mali, Makan Konate selain pemain berdarah kacukan Malaysia-England, Lee Tuck di posisi tengah pasukan," demikian menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 6:08 PM