PERDANA Menteri Itali, Mario Draghi (kiri) bersama Angela Merkel pada sidang media bersama di Berlin, hari ini. FOTO EPA
PERDANA Menteri Itali, Mario Draghi (kiri) bersama Angela Merkel pada sidang media bersama di Berlin, hari ini. FOTO EPA
AFP

Berlin: Perdana Menteri Itali, Mario Draghi, hari ini berkata, dia percaya final Euro 2020 tidak patut diadakan di Wembley memandangkan peningkatan kes Covid-19 di England.

"Saya menyokong usaha memastikan final tidak diadakan di negara yang berisiko jangkitan yang sangat tinggi," katanya pada sidang media bersama Kaunselor Jerman, Angela Merkel di Berlin.

Draghi, yang menyaksikan pasukannya cemerlang di kejohanan itu setakat ini adalah pemimpin terbaru menyuarakan kebimbangan pemilihan Wembley sebagai lokasi final.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berkata, keutamaannya adalah memastikan negara itu selamat daripada Covid-19, pada ketika sumber memberitahu AFP bahawa Uefa membuka pilihan untuk memindahkan dua aksi separuh akhir dan final Euro 2020 dari Wembley ke Budapest.

Variasi baharu Delta yang lebih membahaya dan mudah berjangkit serta kali pertama dikesan di India, menjadi punca lonjakan kes baharu Covid-19 di Britain dan memaksa kerajaan menangguhkan pembukaan sempadan negaranya.

Minggu lalu, Merkel dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyuarakan kebimbangan mengenai langkah membenarkan penonton masuk stadium di Euro 2020 sambil Merkel menyatakan: "Berjaga-jaga tetap perlu dilakukan di acara besar."

Macron berkata: "Kita perlu memandang serius perkara ini membabitkan pasukan dan penyokong, terutama penularan pantas varian Delta di Britain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 1:59 AM