PENYERANG Jerman, Timo Werner (dua dari kiri) bergurau dengan penjaga gol, Bernd Leno ketika sesi latihan di Herzogenaurach. FOTO AFP
PENYERANG Jerman, Timo Werner (dua dari kiri) bergurau dengan penjaga gol, Bernd Leno ketika sesi latihan di Herzogenaurach. FOTO AFP
AFP

Herzogenaurach, Jerman: Masih segar dengan kejayaan merangkul gelaran Liga Juara-Juara Eropah bersama Chelsea, Timo Werner bersedia menjadi pencetak jaringan dari bangku simpanan apabila Jerman menentang Perancis, Selasa ini.

Skuad Jerman sedang memburu rekod gelaran Kejohanan Eropah buat kali keempat dan membuka saingan Kumpulan F dengan menentang juara dunia itu di Munich.

Di sebalik musim sulung yang tidak menentu bersama Chelsea, Werner membuktikan ketajaman sentuhan penyudahnya buat Jerman apabila menjaringkan satu gol sebagai pemain gantian ketika mereka menang 7-1 ke atas Latvia pada perlawanan persahabatan Isnin lalu, iaitu jaringan ke-16 dalam 39 penampilan antarabangsa.

Sambil mengakui sebagai perebutan kejam untuk menjadi penyerang utama skuad Jerman, pemain berusia 25 tahun itu sedia untuk menawarkan ancaman dari bangku simpanan buat ketua jurulatih, Joachim Loew.

"Sudah tentu saya mahu bermula dalam kesebelasan utama, tetapi agak normal apabila berada di bangku simpanan pada peringkat ini," kata Werner ketika ditemui di pangkalan latihan skuad Jerman di Bavaria, hari ini.

"Saya bukan jenis pemain yang duduk di bangku simpanan dengan berpeluk tubuh dan merungut.

"Anda perlu tajam dan berbahaya di depan gol untuk memberikan pilihan kepada jurulatih sebagai isyarat anda boleh membantu pasukan sekalipun bermula dari bangku simpanan."

Rakan sepasukannya di Chelsea, Kai Havertz, pemain veteran, Thomas Mueller dan pemain sayap Bayern Munich, Serge Gnabry dijangka berada dalam kesebelasan utama menentang Perancis.

Werner melalui aksi tidak menentu pada musim pertama bersama Chelsea apabila hanya menjaringkan enam gol daripada 35 penampilan Liga Perdana Inggeris dan melalui tempoh suram tiga bulan tanpa gol di liga utama England itu.

Selepas terlepas aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah di Real Madrid, Werner menjaringkan gol ketika menang 2-0 pada perlawanan timbal balik.

Pada perlawanan akhir di Porto, larian pantas Werner membuka ruang kepada Havertz untuk menjaringkan gol kemenangan 1-0 ke atas Manchester City, pada ketika Chelsea muncul juara kali kedua dalam sejarah kejohanan itu.

"Pengakhirannya memang bagus apabila kami muncul juara. Ia adalah tahun yang turun naik kepada saya secara peribadi," kata Werner.

"Saya belajar banyak perkara dan ia tidaklah teruk. Saya membangun dalam banyak perkara.

"Anda boleh mengkritik diri sendiri apabila sepatutnya menjaringkan satu atau dua gol, tetapi sebagai penyerang anda boleh berdepan satu musim apabila semuanya kurang menjadi."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 10:24 PM