TUNKU Ismail menegur pemain negara agar menutup media sosial dan fokus untuk kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ketika ini. FOTO Instagram
TUNKU Ismail menegur pemain negara agar menutup media sosial dan fokus untuk kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ketika ini. FOTO Instagram
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegur pemain skuad Harimau Malaya supaya menutup sementara waktu akaun media sosial masing-masing menjelang aksi hidup mati berdepan Vietnam dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai, 11 Jun ini.

Teguran pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu hadir selepas melihat beberapa pemain kerap menaikkan status di laman sosial sama ada di Facebook mahupun Instagram sehingga ia boleh mengganggu fokus dan konsentrasi pemain.

Menerusi komen balas Tunku Ismail di akaun Instagram milik pemain pertahanan kanan Harimau Malaya, Matthew Davies, beliau menasihatkan supaya kembali fokus dan bekerja keras dalam aksi akan datang.

"Ya (perbaiki kelemahan), tetapi pertama anda perlu menutup ** di media sosial dan bekerja," tulis Tunku Ismail yang juga 'Bosnya' di JDT.

Sebelum teguran Tunku Ismail itu, Davies memuat naik status untuk bangkit semula selepas skuad negara tewas 0-4 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Zabeel, Dubai semalam.

"Masa untuk memperbaiki kesilapan kita dan bangkit kembali dengan lebih kuat, semua fokus pada permainan penting selepas ini," kata pemain kacukan Australia-Malaysia itu.

Selain Davies, beberapa tonggak utama juga turut memuat naik status masing-masing bagi meluahkan rasa kekecewaan mahupun menaikkan semula motivasi susulan kekalahan kepada UAE itu.

Mungkin tindakan segelintir pemain itu sebagai terapi untuk mengembalikan semangat, namun di kala situasi genting ketika ini seharusnya aktiviti di laman sosial dihadkan bagi memastikan tumpuan dan fokus pemain tidak terjejas.

Sebelum ini, pemain tengah negara, Norazam Azih pernah mengakui pengendali pasukan Tan Cheng Hoe mengingatkan pemain agar tidak 'bermain' media sosial sepanjang kempen kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 1:12 PM