AKSI ELDSTAL (tengah) ketika berdepan UAE.
AKSI ELDSTAL (tengah) ketika berdepan UAE.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya menerima perkhabaran kurang menarik menjelang aksi hidup mati menentang Vietnam dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jumaat ini ekoran kecederaan serius yang menimpa tonggak pertahanan, Junior Eldstal.

Pengendali negara, Tan Cheng Hoe berkata, Eldstal disahkan mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri selepas berakhir aksi bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jumaat lalu yang menyaksikan pasukan kebangsaan tumbang 0-4.

Ketiadaan pertahanan tengah kelab Chonburi FC di Liga Thailand itu pastinya meletakkan Harimau Malaya dalam situasi tempang meskipun dia hanya beraksi sebagai tonggak gantian di belakang dua pertahanan utama, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Dion Cools.

"Untuk latihan petang ini, Eldstal tak dapat sertai latihan. Saya rasa Eldstal tak boleh bersama. Selepas perlawanan (menentang UAE), dia dapat kecederaan yang agak serius di mana dia tak boleh berjalan seperti biasa.

"Pasukan perubatan sedang memulihkan Eldstal ketika ini," katanya yang kini masih memiliki tiga tonggak di bahagian itu sekiranya terpaksa mengeluarkan Aidil atau Cools dalam baki dua aksi kelayakan menentang Vietnam dan Thailand.

Tiga tonggak itu ialah Dominic Tan yang beraksi bersama Police Tero di Liga Thailand, pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) Adam Norazlin dan Irfan Zakaria pemain Kuala Lumpur City.

Sementara itu, mengulas mengenai teguran dan kritikan yang dilemparkan kepada kem Harimau Malaya termasuk kenyataan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Cheng Hoe mengambilnya dari sudut positif dan berharap sokongan tidak berbelah dapat diberikan kepada anak buahnya.

"Kita tahu Duli Yang Amat Mulia TMJ (Tunku Ismail) seorang yang ambil berat pasal bola sepak Malaysia dan juga saya rasa baginda juga ingin melihat pasukan kebangsaan dan pemain pada tahap terbaik.

"Saya rasa nasihat-nasihat tersebut bagi kita motivasi tinggi untuk berdepan Vietnam nanti," katanya yang turut menasihatkan pemain mengenepikan seketika komen-komen negatif di media sosial waktu ini.

Semalam, menerusi laporan akhbar ini menyaksikan seolah-olah Tunku Ismail seperti tidak merestui pembentukan skuad Harimau Malaya yang majoritinya datang daripada JDT. Sebaliknya beliau mahu Cheng Hoe tidak mengenepikan pemain dari pasukan lain dalam tugasan antarabangsa selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 7:01 AM