REAKSI Suarez (tengah) selepas meledak gol kemenangan Atletico. FOTO AFP
REAKSI Suarez (tengah) selepas meledak gol kemenangan Atletico. FOTO AFP
AFP

Madrid: Diego Simeone mengagumi sumbangan Luis Suarez dan menganggapnya luar biasa selepas bintang Uruguay itu meledak jaringan yang mungkin boleh mengesahkan gelaran La Liga milik Atletico Madrid yang bangkit menewaskan Osasuna 2-1, awal pagi tadi.

Atletico ketinggalan ketika permainan berbaki sembilan minit di Wanda Metropolitano dan berdepan kekalahan yang bukan sahaja menangguhkan pesta juara mereka tetapi mebolehkan Real Madrid yang menewaskan Athletic Bilbao merampas kedudukan pendahulu dengan baki satu lagi perlawanan.

Tetapi Atletico meledak gol pada minit ke-82 dan 88 untuk mengubah keputusan. Renan Lodi menyamakan kedudukan sebelum Suarez muncul wira menerusi rembatan kencang jarak dekat.

"Dia luar biasa," kata Diego Simeone. "Dia datang sini untuk menepis kritikan, menunjukkan dia masih penyerang berbisa. Siapa lebih baik daripadanya dalam mengubah perlawanan yang tampak tidak memihak kami."

Pemain Atletico mengerumuni Suarez dan ada yang melutut kelegaan ketika mereka kini hanya memerlukan satu lagi kemenangan.

"Ini detik kegembiraan," kata Suarez. "Ia salah satu detik terbaik musim ini. Kami terlepas banyak peluang terutamanya saya tetapi untuk menjuarai liga anda perlu derita dan hari ini kami melangkah ke depan."

Kemenangan itu membolehkan Atletico kekal dua mata di hadapan dan satu lagi kejayaan di Real Valladolid minggu depan bakal mengesahkan gelaran liga kedua mereka dalam masa 25 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 8:06 AM