FARIZAL lihat persembahan rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan adalah baik cuma agak sedikit keletihan. FOTO NSTP
FARIZAL lihat persembahan rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan adalah baik cuma agak sedikit keletihan. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Peluang skuad Harimau Malaya melangkah ke pusingan seterusnya mungkin lebih cerah jika semua pemain mempamerkan komitmen tinggi dan aksi terbaik mereka pada baki kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emeriah Arab Bersatu (UAE).

Penjaga gol kebangsaan Farizal Marlias berkata, ketika ini dia melihat senarai pemain yang dipilih pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe cukup meyakinkan sekali gus mampu menggalas cabaran negara kelak.

Malah, persembahan pemain kebangsaan dalam saingan Liga Malaysia tidaklah seteruk yang disangka terutama kebanyakannya sudah mendapat rentak masing-masing dan akan mempertingkatkan lagi apabila menyertai kem latihan Harimau Malaya,

"Setakat ini, saya lihat persembahan rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan adalah baik cuma agak sedikit keletihan kerana jadual Liga Malaysia yang agak padat.

"Saya percaya dengan senarai pemain yang dipanggil mempunyai kredibiliti masing-masing iaitu ada kelebihan berbanding yang lain.

"Sekarang ini, pemain tidak sabar beraksi untuk skuad kebangsaan dengan masing-masing mahu memberikan terbaik dalam usaha memastikan kita melangkah ke pusingan seterusnya," katanya.

Sebagai rekod, skuad kebangsaan akan dihimpunkan pada 16 Mei sebelum mengharungi dua aksi pemanas badan berdepan Kuwait dan Bahrain.

Ia sebagai persiapan untuk menghabiskan baki kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai yang menyaksikan skuad kebangsaan akan berdepan UAE terlebih dahulu sebelum menentang pendahulu, Vietnam dan mengakhiri kempen peringkat kumpulan dengan aksi bertemu Thailand.

Ketika ini, mereka berada pada kedudukan terbaik untuk mara ke peringkat seterusnya apabila menghimpun sembilan mata untuk berada di tempat kedua di belakang Vietnam (11 mata) sementara Thailand berada di tempat ketiga dengan lapan mata dan UAE (enam mata).

Selain itu, Farizal yang pernah menyarung jersi Selangor dan Perak berkata, dia cukup positif dengan kemampuan penjaga gol lain dalam mengemudi gawang Harimau Malaya.

"Siapa yang diturunkan untuk mengawal gawang Harimau Malaya nanti perlulah berikan terbaik dan pamerkan aksi memukau dengan menyelamatkan pintu gol daripada dibolosi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 6:07 PM