Reaksi pengendali Manchester City, Pep Guardiola ketika aksi Liga Perdana Inggeris. FOTO Agensi
Reaksi pengendali Manchester City, Pep Guardiola ketika aksi Liga Perdana Inggeris. FOTO Agensi
AFP

Birmingham, United Kingdom: Pep Guardiola menegaskan peranan Manchester City dalam kontroversi Liga Super Eropah (ESL) sudah "ditutup" ketika dia menggesa anak buahnya memberi tumpuan kepada meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kemenangan 2-1 di Aston Villa.

City menyatakan persetujuan untuk mewujudkan kejohanan berasingan ESL pada Ahad, sebelum kejohanan itu digulingkan dalam tempoh 48 jam apabila mereka menjadi kelab pertama secara rasmi menarik diri selepas tekanan memuncak daripada pelbagai pihak.

Skuad kendalian Guardiola itu mengetepikan drama di luar padang untuk bangkit daripada ketinggalan seterusnya mencatat kemenangan di Villa Park ketika pendahulu liga melonjak dengan 11 mata daripada pasukan di tangga kedua, Manchester United.

Jaringan pembukaan selepas 20 saat perlawanan bermula oleh John McGinn mengejutkan City, tetapi Phil Foden menyamakan kedudukan dan tandukan Rodri sebelum waktu rehat memastikan kemenangan mereka.

City memerlukan lapan mata daripada lima perlawanan terakhir mereka untuk memenangi gelaran Inggeris ketiga dalam empat musim dan itulah fokus utama Guardiola ketika ini selepas perlawanan berdepan Villa.

"Ia sudah ditutup, sebagai satu pasukan kami menerima dan belajar serta fokus kepada sebab kenapa kami berada di sini. Kami semakin hampir.

"Mereka (pemilik) tidak perlu memohon maaf kepada saya, saya mengenali mereka, saya tahu bagaimana keadaan mereka. Ia hanya satu babak yang sudah berakhir.

"Tewas hari ini, menyebabkan kami berdepan bahaya untuk perlawanan terakhir kerana Manchester United berada pada prestasi terbaik.

"Apabila lima perlawanan terakhir bergantung pada diri anda sendiri ia satu pujian. Kami tahu apa sebenarnya yang kami mahukan - ketika beraksi seperti hari ini.

"Selepas dua kekalahan menentang Leeds dan Chelsea kami tahu bertapa pentingnya keputusan ini.

"Terlalu banyak kesengsaraan, ia bukan permulaan yang baik tapi kami bangkit dan beraksi dengan baik, bukan hanya dengan dua gol tetapi dengan cara kami bermain. Ia kemenangan yang sangat penting buat kami."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 8:50 AM