RAHEEM kurang mendapat tempat di  City.
RAHEEM kurang mendapat tempat di City.
Agensi

London: Chelsea memulakan langkah untuk mendapatkan Raheem Sterling selepas pemilik baharu, Todd Boehly menghubungi Manchester City awal pagi tadi.

Kelab Barat London itu tampak serius dengan hasrat mereka apabila mempersiapkan bajet sekitar £50 juta (RM270 juta) dalam masa beberapa hari lagi.

City setuju menawarkan Sterling, 27, kontrak baharu bagi menggantikan kontrak lama yang berbaki kurang 12 bulan tetapi pemain England itu dipercayai bimbang dengan minit permainannya di Etihad musim depan.

Di sebalik menunggu sehingga menjadi ejen bebas pada musim panas 2023, dia mahu memastikan tempat dalam skuad utama terutamanya dengan Piala Dunia berlangsung hujung tahun ini.

Walaupun Gabriel Jesus bakal meninggalkan kelab, pengurus City, Pep Guardiola menambah dua penyerang baharu, Erling Haaland dan Julian Alvarez manakala Sterling tidak tersenarai dalam kesebelasan ketika menentang Real Madrid atau aksi penentu gelaran Liga Perdana menentang Aston Villa.

Hubungan antara Sterling dan bosnya di Etihad tidak harmoni bermula musim bunga 2021 selepas tewas aksi derby kepada Manchester United.

Guardiola pula kerap menegaskan beliau tidak mahu menyimpan pemain yang mahu meninggalkan kelab dan hierarki Etihad sedia melepaskan Sterling jika mendapat harga sesuai berbanding kehilangannya secara percuma musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 12:00 PM