DUA pemain Perak mengekang kemaraan pemain Kuala Lumpur pada aksi Liga Super, bulan lalu.
DUA pemain Perak mengekang kemaraan pemain Kuala Lumpur pada aksi Liga Super, bulan lalu.
BERNAMA

Tanjung Malim: Tidak adil untuk menuding jari menyalahkan kerajaan negeri sepenuhnya dalam isu kegagalan Perak FC membayar gaji para pemain dipercayai dua bulan tertunggak, kata Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad.

Beliau berkata kerajaan negeri telah membayar sebanyak RM4 juta tunggakan gaji pemain Perak FC, sekali gus menepis dakwaan peminat bola sepak Perak kononnya kerajaan negeri tidak prihatin dengan masalah dihadapi pasukan itu.

"Kita sudah pun membantu (membuat bayaran) kira-kira RM4 juta. Dulu saya bantu RM2.5 juta untuk tertunggak dua bulan dan baru-baru ini lagi RM1.5 juta. Tidak adil untuk mengatakan kerajaan negeri tidak langsung membantu mereka.

"Juga tidak adil untuk meletakkan tanggungjawab ini 100 peratus kepada kerajaan negeri. Sebab saya tidak boleh hanya melihat sukan bola sepak sahaja. Saya kena lihat hoki, bola tampar, bola jaring semua sukan saya kena lihat," katanya ketika ditemui pemberita di Program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) di Parlimen Tanjung Malim, hari ini.

Beliau mengulas isu hangat diperkatakan ketika ini membabitkan pasukan Liga Super Perak FC dikhabarkan tidak membayar gaji pemain dalam jangka masa agak lama iaitu dua bulan.

Perak berdepan pelbagai isu pada awal musim ini termasuk menamatkan kerjasama dengan pengendali sebelumnya Mehmet Durakovic berikutan tidak sehaluan dengan jurulatih yang membantu skuad itu meraih Piala Malaysia 2018.

Beliau turut menjelaskan Perak FC di bawah Persatuan Bola sepak Perak (Pafa) dan bukan di bawah kerajaan negeri sepenuhnya untuk membiayai gaji, sekali gus meminta peminat bola sepak negeri itu agar bertenang ketika pihaknya menyelesaikan isu berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya juga telah memujuk beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membayar tunggakan berkenaan walaupun itu bukan tanggungjawabnya.

Sementara itu, Saarani berkata kerajaan negeri tidak boleh hanya menumpukan kepada satu jenis sukan semata-mata khususnya dalam sudut bantuan peruntukan membabitkan kos yang tinggi.

"Kalau kata bola sepak memerlukan RM2 juta sebulan, nilai ini anda tidak boleh letakkan kepada kerajaan negeri untuk menanggungnya. Ini tidak adil.

"Sebab, ia duit rakyat, bukan duit Persatuan Bola Sepak atau pungutan tiket. Duit cukai ini saya perlu bagi balik kepada rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 6:28 PM