ADUN Bota yang juga Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-14 Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. FOTO Bernama
ADUN Bota yang juga Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-14 Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. FOTO Bernama
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sebanyak RM7.62 juta sudah disalurkan kerajaan negeri Perak sebagai bantuan kepada pembangunan sukan bola sepak negeri ini bagi membolehkan skuad bola sepak negeri ini, Perak FC terus mengharungi Liga Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, ia merangkumi RM4.62 juta yang disalurkan kepada Perak FC melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri selain RM3 juta kepada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sebelum penswastaan.

Katanya, kerajaan negeri komited menyokong Penswastaan Liga Malaysia yang merupakan satu usaha meningkatkan kecekapan dan profesionalisme arena bola sepak Malaysia.

"Namun proses transisi ini masih gagal dilakukan di Perak sehingga berdepan kemungkinan gagal mendaftarkan pasukan bagi menghadapi liga musim 2021 akibat tunggakan gaji tiga bulan pada awal musim.

"Terima kasih diucapkan kepada Kota Tampan (Menteri Besar- Datuk Seri Saarani Mohamad) kerana kerajaan negeri ketika itu menyalurkan bantuan RM3 juta melalui GLC negeri kepada PAFA untuk melunaskan tunggakan supaya tiada sekatan dikenakan untuk menyertai Liga Super.

"Sebagai tambahan, Perak FC Sdn Bhd juga menerima bantuan daripada kerajaan negeri melalui GLC negeri dengan jumlah keseluruhan RM4.62 juta, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan kerajaan negeri kepada pasukan bola sepak negeri adalah RM7.62 juta," katanya menerusi teks ketika menggulungkan perbahasan Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 hari ini.

Isnin lalu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (PN-Chenderiang) yang merupakan bekas Menteri Besar Perak serta Menteri Belia dan Sukan berharap kerajaan negeri memberikan perhatian terhadap pasukan Perak FC yang mengalami pelbagai isu terutama kewangan.

Sebagai rekod, penswastaan arena bola sepak negara menyaksikan skuad bola sepak negeri, The Bos Gaurus yang sebelum ini diurus tadbir oleh PAFA, kemudiannya beralih pengurusan kepada Perak FC Sdn Bhd.

Sementara dalam perkembangan lain, Khairul Shahril berkata, kesukaran menetapkan sasaran pungutan pingat bagi Sukan Malaysia (Sukma) 2022 Johor yang ditangguh ke tahun 2024, membuatkan pihaknya meletakkan sasaran 50 pingat emas pada temasya itu nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 10:03 PM