K DEVAN pada sidang media selepas tamat perlawanan. FOTO Mohd Amin Jalil
K DEVAN pada sidang media selepas tamat perlawanan. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan berpuas hati dengan kemenangan dicapai ke atas skuad Projek FAM-MSN dalam saingan Liga Perdana, walaupun terpaksa menunggu pada minit ke-72 permainan, untuk menyaksikan jaringan gol.

Negeri Sembilan menewaskan Projek FAM-MSN, 2-0, hasil jaringan B Barathkumar pada minit ke-72 diikuti Alain Thierry Akono (minit ke-85), dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Pengendali berpengalaman itu mengakui kegagalan memanfaatkan peluang dan melakukan beberapa kesilapan pada sebahagian besar perlawanan, menyebabkan hasrat menyaksikan jaringan lebih awal tidak kesampaian.

"Strategi bertahan dilakukan pemain Projek FAM-MSN, menyukarkan pemain saya terutama jentera serangan untuk menjaringkan gol.

"Pemain saya sukar menembusi benteng lawan apabila ramai pemain lawan berkumpul dalam kawasan gol, walaupun berjaya mencipta banyak peluang.

"Malah, beberapa keputusan yang dilakukan pemain Negeri Sembilan terutama pada babak pertama dilihat kurang tepat, sekali gus usaha mendapatkan gol awal, gagal," katanya kepada media, selepas berakhir perlawanan.

Devan bagaimanapun tetap memuji persembahan anak buahnya kerana mengekalkan disiplin yang tinggi dan menunjukkan sikap tidak berputus asa sehingga berjaya mendapatkan kemenangan.

"Saya juga puas hati dengan persembahan Barathkumar yang kini sudah menjaringkan empat gol walaupun dia belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dialami ketika persiapan pramusim.

"Kebolehan dia pandai mencari ruang dan berada pada tempat sesuai untuk melepaskan rembatan ke arah gol.

"Saya yakin dia (Barathkumar) mampu memberi impak lebih baik kepada pasukan dan menjaringkan lebih banyak gol selepas ini," katanya.

Dalam pada itu, pengendali berasal dari Bahau ini enggan memikirkan kedudukan dalam carta kerana menyifatkan ia masih awal ketika cabaran perlawanan masih panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 2:16 PM