Tan Cheng Hoe memerhatikan latihan skuad kebangsaan. FOTO File NSTP
Tan Cheng Hoe memerhatikan latihan skuad kebangsaan. FOTO File NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tiada sebarang aksi persahabatan buat skuad Harimau Malaya sepanjang sembilan hari latihan pusat yang akan diadakan di Pusat Latihan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Johor Bharu bermula 22 Mac ini.

Jelas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, ekoran masalah Covid-19 selain saingan Liga Malaysia yang berhenti rehat seketika, menyaksikan agak sukar buatnya mencari pasukan luar negara mahupun kelab tempatan untuk menguji anak buahnya.

Namun ia tidak bermakna pemain akan hadir 'bersantai' sepanjang kem latihan itu, apabila beliau menegaskan sudah merangka perancangan rapi bagi memastikan objektif latihan pusat kali ini berjaya dimanfaatkan sebaiknya.

Katanya, antara perkara yang akan beliau tekankan adalah mengenai falsafah permainan pasukan, berkongsi input tentang kekuatan dan kelemahan pasukan lawan serta mengadakan perlawanan ujian sesama pemain.

"Setakat sekarang kita tak ada aksi persahabatan kerana bukan senang nak cari pasukan luar dan kita pun susah nak ke luar negara. Pasukan tempatan pula baru habis lima perlawanan liga, jadi mereka mesti nak berehat.

"Saya juga tak nak terlalu menekan pemain kerana mereka juga sudah menempuh jadual liga yang padat, jadi kita nak mereka hadir menjalani latihan dalam keadaan yang lebih segar.

"Paling penting kita dah lama tak berlatih bersama jadi mungkin pemain sudah lupa (falsafah dan corak permainan), jadi kita akan ingatkan kembali kepada pemain termasuk tentang persiapan kita lawan UAE (Emiriah Arab Bersatu), Vietnam dan Thailand nanti," katanya.

Malaysia yang kini menghuni tangga kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 akan meneruskan kempen pada Jun ini dengan menentang UAE, Vietnam dan Thailand di Dubai.

Lantas, latihan pusat di Johor itu cukup penting untuk mempersiapkan skuad negara selepas setahun tidak dapat dikumpulkan ekoran pandemik Covid-19 dengan kali terakhir beraksi di pentas antarabangsa pada November 2019.

Pemain naturalisasi negara, Guilherme De Paula turut disenaraikan dalam skuad kebangsaan.
Pemain naturalisasi negara, Guilherme De Paula turut disenaraikan dalam skuad kebangsaan.

Semalam, Cheng Hoe mengumumkan senarai 28 pemain yang dipanggil termasuk pemain naturalisasi ketiga negara, Guilherme de Paula yang baharu menerima kerakyatan bulan lalu.

Selain De Paula, seorang pemain berpangkalan di luar negara iaitu penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin dan bintang sedang meningkat JDT, Ramadhan Saifullah Usman turut disenaraikan bagi melengkapkan 11 muka baharu yang dipanggil kali ini.

Daripada 28 yang disenaraikan, barisan kejurulatihan hanya mengekalkan 17 daripada skuad 23 pemain yang beraksi dalam dua perlawanan kelayakan terakhir sementara enam pemain lain digugurkan termasuk Safawi Rasid yang mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 6:20 PM