Latihan Skuad Harimau Malaya.
Latihan Skuad Harimau Malaya.
Oleh Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemilihan skuad Harimau Malaya atas dasar pemantauan dan pemerhatian barisan kejurulatihan, bukannya dipengaruhi pihak tertentu hanya untuk membariskan pemain berstatus anak emas.

Itu antara perkara yang ditekankan pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe terhadap dakwaaan berterusan pelbagai pihak yang mempersoalkan pemilihan pemain dilihat kurang sesuai atau tidak relevan untuk membarisi pasukan kebangsaan.

Ketika ini, antara pemain yang menjadi pertikaian pihak tertentu adalah penyerang Sarawak United, Norshahrul Idlan Talaha dan pemain naturalisasi ketiga negara, Guilherme de Paula apabila kedua-duanya dilihat kurang menyerlah dalam aksi Liga Malaysia.

Cheng Hoe berkata, dua pemain berkenaan dilihat antara yang mempunyai pengalaman dan kemampuan untuk menggalas cabaran di bahagian jentera serangan skuad Harimau Malaya.

Malah, beliau juga masih lagi menaruh harapan Norshahrul atau dikenali Mat Yo untuk meledak jaringan berdasarkan pengalamannya sebelum ini bersama kelab Thailand iaitu BG Pathum United.

"Ramai yang mempersoalkan kenapa saya pilih Mat Yo dan turut menyenaraikan de Paula ke kem latihan Harimau Malaya namun sebenarnya kami memilih dua pemain ini atas dasar kemampuan dan pengalaman yang ada.

"Sebelum ini, Mat Yo bersama dengan BG Pathum United iaitu kelab meraih kejuaraan saingan Liga 1 Thai musim 2020/2021 sekali gus dia mempunyai pengalaman yang boleh dimanfaatkan.

"Pemilihan pemain tiada kaitan dengan pengaruh pihak luar kerana kita mahu pilih yang boleh menggalas cabaran negara kerana perlawanan Jun nanti cukup mencabar," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Cheng Hoe mengekalkan 17 pemain daripada skuad 23 pemain Harimau Malaya bagi dua aksi terakhir kelayakan Piala Dunia/ Piala Asia sebelum ini iaitu bertemu Thailand dan Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada November 2019.

Bagi melengkapkan senarai 28 pemain yang menyertai kem latihan nanti, Cheng Hoe menyenaraikan 11 pemain lain iaitu dua penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United FC) dan Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC), Rizal Ghazali (Kedah Darul Aman FC), Irfan Zakaria (Kuala Lumpur City FC), Faisal Halim (Terengganu FC), Nazmi Faiz Mansor (JDT), Shahrel Fikri Md Fauzi (Selangor FC) dan Fazly Mazlan (Sri Pahang FC).

Selain itu, Cheng Hoe turut mempertaruhkan muka baharu iaitu bintang muda JDT, Ramadhan Saifullah Usman, Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk), , dan pemain naturalisasi ketiga negara, Guilherme de Paula (Perak FC).

Enam pemain lain tidak disenaraikan bagi kem latihan pusat kali ini membabitkan penjaga gol Haziq Nadzli, Dominic Tan, Syazwan Andik Ishak, Baddrol Bakhtiar, Azzizan Nordin serta Safawi Rasid.

Untuk rekod, aksi Kumpulan G bagi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Malaysia akan turun menentang UAE pada 3 Jun sebelum berdepan Vietnam lapan hari kemudian.

Aksi penutup kempen kelayakan itu pula menyaksikan Harimau Malaya akan menghadapi tentangan Thailand pada 15 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 6:45 AM