UPAMECANO (kanan) dikatakan akan berhijrah ke Bayern musim depan. FOTO AFP
UPAMECANO (kanan) dikatakan akan berhijrah ke Bayern musim depan. FOTO AFP
AFP

Berlin: Pertahanan Perancis, Dayot Upamecano akan menyertai Bayern Munich dari RB Leipzig musim depan, berdasarkan beberapa laporan media.

Kedua-dua majalah Kicker dan akhbar harian Bild berkata, Bayern akan membayar €43 juta (RM210 juta) untuk aktifkan klausa membeli Upamecano yang mempunyai kontrak dengan Leipzig sehingga 2023.

Juara Eropah itu dilihat berjaya mengalahkan saingan dari Liverpool dan Chelsea yang juga mahu mendapatkan khidmat pertahanan tengah berkenaan.

Upamecano akan menggantikan David Alaba, 28, yang bersedia meninggalkan Bayern selepas kontraknya berakhir Jun depan selepas beberapa kali menolak tawaran baru kelab itu.

Pengara sukan Bayern, Hasan Salihamidzic memberitahu Bild beliau boleh mengesahkan perpindahan pemain berusia 22 tahun itu.

"Saya boleh sahkan dan kami di Bayern sangat gembira mengenainya. Kami melakukan perbincangan profesional dan intensif dengan Dayot serta ejennya, Volker Struth beberapa bulan sebelum ini.

"Kami tahu mendapat tentangan sengit. Kami mempersembahkan visi kariernya di Bayern," kata Salihamidzic.

Beliau berkata, butiran perpindahan sudah dimuktamadkan ketika Bayern berada di Qatar di mana mereka berjaya mengalahkan Tigres di perlawanan akhir Piala Dunia Kelab untuk melengkapkan trofi keenam sejak tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 11:20 AM