TUCHEL resah tonggak utama cedera dan sertai tugasan antarabangsa. FOTO Reuters
TUCHEL resah tonggak utama cedera dan sertai tugasan antarabangsa. FOTO Reuters
AFP

Munich: Pengurus Bayern Munich, Thomas Tuchel berkata, dia berasa 'sedikit terkilan' selepas pertahanan tengah, Dayot Upamecano terkoyak di bahagian otot paha ketika menang 1-0 ke atas Union Berlin.

Upamecano gagal untuk kembali ke padang pada separuh masa kedua selepas mengalami kecederaan pada lewat separuh masa pertama, dengan Tuchel berkata pertahanan Perancis itu mengalami 'koyak hamstring'.

"Dengan kecederaan hamstring, kami bercakap mengenai rehat berminggu-minggu bukannya berhari-hari," kata Tuchel.

Tuchel memberitahu pemberita bahawa beliau berasa 'sedikit terkilan', dengan pemain pertahanan tengah pilihan pertama Kim Min Jae tidak dapat beraksi kerana dalam tugasan di Piala Asia.

"Sudah tentu ia amat pahit untuknya secara peribadi, tetapi juga untuk kami kerana dia masih berada dalam pasukan.

"Dia hampir tidak boleh ditukar ganti. Dia berada dalam prestasi terbaik selama beberapa minggu, juga dalam cita-citanya, keinginannya untuk menang, fizikalnya luar biasa. Ia sangat menyakitkan kami."

Tuchel berkata pemain tengah, Konrad Laimer dan Joshua Kimmich juga mengalami kecederaan.

"Tunggu dan lihat... saya lebih bimbang mengenai keadaan Konnie (Laimer) berbanding Josh," katanya.

Kemenangan tipis Bayern, hasil jaringan pada separuh masa kedua daripada Raphael Guerreiro, membawa mereka empat mata di belakang pendahulu liga, Bayer Leverkusen.

Bayern bermain di tempat lawan menentang Augsburg Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 10:52 AM