EPL mengesahkan 18 pemain dan staf pasukan disahkan positif Covid-19. FOTO Agensi
EPL mengesahkan 18 pemain dan staf pasukan disahkan positif Covid-19. FOTO Agensi
AFP

London: Liga Perdana Inggeris (EPL) mengesahkan awal pagi tadi bahawa 18 pemain dan staf pasukan diuji positif Covid-19, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tindakan penyambungan semula saingan musim ini tatkala kes semakin meningkat di seluruh England.

Jumlah berkenaan adalah yang paling tinggi sejak ujian setiap minggu diperkenalkan, mengatasi jumlah sebelum ini iaitu 16 kes pada 9 hingga 15 November.

Aksi antara Manchester City dan Everton terpaksa ditangguhkan semalam selepas penularan wabak dalam kalangan pemain City.

"EPL boleh mengesahkan hari ini antara 21 hingga 27 Disember seramai 1,479 pemain dan staf pasukan menjalani ujian Covid-19. Daripada ujian berkenaan 18 positif," kata EPL dalam satu kenyataan.

Sheffield United berkata, mereka juga ada mencatatkan beberapa kes positif namun kunjungan mereka ke Burnley dan enam lagi saingan EPL pertengahan minggu ini diteruskan seperti biasa.

Southampton pula tidak dapat menggunakan khidmat pengurus mereka, Ralph Hassenhuttl menjelang kunjungan ke West Ham selepas anggota keluarganya disahkan positif Covid-19.

Bilangan kes yang dicatatkan di UK sehingga awal pagi tadi ialah sebanyak 53,135 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 6:17 AM