MARIAPPA antara pemain yang didapati positif Covid-19 pada ujian pertama. FOTO AFP
MARIAPPA antara pemain yang didapati positif Covid-19 pada ujian pertama. FOTO AFP
AFP

LIGA Perdana Inggeris (EPL) berkata, dua lagi individu dari kelab yang berbeza diuji positif Covid-19.

Seramai 996 pemain dan staf kelab melakukan ujian selama tiga hari minggu lalu.

"Dua lagi individu diuji positif dari dua kelab berbeza. Pemain atau staf kelab yang diuji positif sekarang ini dikuarantin selama tujuh hari," kata EPL dalam satu kenyataan.

Pada sesi ujian 17 dan 18 Mei lalu, seramai 748 individu diuji dan enam didapati positif dari tiga pasukan berbeza.

"Keenam-enam individu sebelum ini masih menjalani kuarantin dan tidak terbabit dalam ujian terbaru.

"EPL memberi maklumat ujian ini adalah untuk tujuan integriti pertandingan dan ketelusan.

"Tidak ada maklumat lengkap seperti kelab atau maklumat individu berkenaan, di mana kita hanya akan menyatakan berapa yang diuji positif selepas ujian dilakukan," kata EPL.

Jumaat lalu, Ketua Eksekutif EPL, Richard Masters berkata, beliau yakin saingan liga dapat diteruskan pertengahan Jun.

Semua pasukan kembali berlatih dalam kumpulan yang kecil minggu ini dan liga berharap dapat menyambung semula saingan 92 perlawanan pada 12 atau 19 Jun.

Antara enam individu sebelum ini yang diuji positif ialah pertahanan Watford, Adrian Mariappa bersama dua lagi staf kelab berkenaan.

Pengurus Watford, Nigel Pearson juga mendedahkan dua lgi individu dari skuadnya terpaksa dikuarantin selepas ada ahli keluarga yang diuji positif.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 11:42 AM