Javier Mascherano. FOTO File Agensi
Javier Mascherano. FOTO File Agensi
Agensi

Buenos Aires: Bekas bintang Barcelona, Liverpool dan Argentina, Javier Mascherano mengumumkan persaraannya hari ini.

Mascherano, 36, mendedahkan keputusannya untuk bersara selepas lebih 17 tahun beraksi dalam karier profesional.

Merekodkan 147 penampilan antarabangsa bersama Argentina - antara yang terbanyak dalam sejarah negara itu - Mascherano kembali ke negara kelahirannya dengan menandatangani kontrak bersama kelab Estudiantes de La Plata pada Januari lalu.

Selepas tampil dalam 11 perlawanan di semua kejohanan buat wakil Argentina itu, termasuk kekalahan 0-1 kepada Argentinos Juniors, Ahad lalu, Mascherano memikirkan ia adalah masa yang sesuai untuk dia menggantung kasut bolanya.

"Saya mahu mengumumkan saya akan bersara dari bola sepak profesional," katanya.

"Saya berterima kasih kepada kelab ini yang memberikan peluang kepada saya untuk mengakhiri kerjaya bola sepak di Argentina."

Mascherano menambah: "Saya sudah memberikan 100 peratus dalam kerjaya dan yang terbaik.

"Hari ini, saya dapati situasi sukar buat saya dan saya menghormati Estudiantes, yang mempercayai saya kembali ke Argentina atau rakan sepasukan atau kerjaya ini."

Selepas memulakan kerjaya bersama River Plate, Mascherano beraksi buat Corinthians dan West Ham sebelum menyertai Liverpool pada 2007.

Pemain tengah yang turut beraksi di pertahanan tengah, Mascherano menikmati kegemilangan di Camp Nou, menang lima kejuaraan La Liga dan dua trofi Liga Juara-Juara antara beberapa kejayaan dikecapi selepas menyertai Barca sejak 2010.

Dia membantu Argentina mara ke final Piala Dunia 2014 sebelum tewas kepada Jerman dalam masa tambahan, selain meraih pingat naib juara Copa America sebagai empat kali dan dua pingat emas Olimpik.

Selepas dua tahun bersama Hebei China Fortune, Mascherano kembali ke Argentina bersama Estudiantes, di mana dia menamatkan kariernya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 1:31 PM