Lee Tuck (kiri) dalam salah satu aksi Liga Malaysia. FOTO File NSTP
Lee Tuck (kiri) dalam salah satu aksi Liga Malaysia. FOTO File NSTP
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain berdarah kacukan Malaysia-England, Lee Tuck akui masih berminat untuk terus menyarung jersi Terengganu FC (TFC) musim depan biarpun kontraknya bakal berakhir hujung bulan ini.

Pemain kelahiran Halifax, England yang meledak enam gol bersama TFC dalam saingan Liga Super musim ini juga masih belum menutup pintu rundingan bersama skuad Penyu itu walaupun dikhabarkan beberapa pasukan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Bagaimanapun Tuck menjelaskan belum lagi berbincang secara bersemuka dengan pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd ataupun Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) berhubung perkara itu.

Namun jauh di sudut hatinya meletakkan harapan yang tinggi agar perbincangan yang bakal berlangsung dalam masa terdekat itu berakhir dengan keputusan positif bersama skuad Hitam Putih itu.

"Saya harapkan keputusan yang positif buat saya pada tahun akan datang, jadi kita tunggu dan lihat lagipun setakat ini saya masih menanti jawapan berhubung tawaran tersebut," katanya.

Berdasarkan rekod, pemain berusia 32 tahun itu yang pernah beraksi dalam Liga Thailand dan Bangladesh mula menyarung jersi skuad Penyu pada 2018 selepas hanya semusim beraksi dengan pasukan Negeri Sembilan.

Arkitek TFC itu berpeluang menjadi pemain naturalisasi kebangsaan pada 2022 jika musim depan masih beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga).

Ketika ditanya mengenai pasukan TFC yang bakal beraksi dalam kancah Piala AFC musim depan, pemain yang digelar 'Rooney Ganu' itu mengakui skuad itu perlu melakukan banyak kerja rumah jika mahu bersaing dalam pentas Asia itu.

"Pasukan TFC mempunyai pembangunan bola sepak yang baik dengan pemain muda yang bagus selain pemain senior yang menjadi tulang belakang pasukan sehingga berjaya menduduki tempat ketiga Liga Super musim ini.

"Bagaimanapun pihak pengurusan perlu meningkatkan lagi tahap permainan pasukan sebelum beraksi dalam pentas Asia dan seterusnya melakar kejutan di peringkat lebih tinggi itu berbanding pada 2012.

"Bagi saya TFC perlu kekalkan pemain utama dan tambah beberapa pemain bagi memantapkan lagi pasukan kerana kita tahu bukan mudah bermain dalam saingan itu nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 10:34 AM