PEMAIN pertahanan, Muhammad Azam Azmi Murad (kiri) sah beraksi bersama Terengganu FC bagi musim 2024/2025. FOTO Ghazali Kori
PEMAIN pertahanan, Muhammad Azam Azmi Murad (kiri) sah beraksi bersama Terengganu FC bagi musim 2024/2025. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu : Pertahanan meningkat naik Terengganu FC (TFC), Muhammad Azam Azmi Murad kekal menyarung jersi skuad itu pada musim 2024/2025.

Penegasan itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas yang menyatakan pemain berusia 23 tahun itu kekal beraksi bersama skuad Penyu itu pada musim ini.

Jelas Mohd Sabri, pengumuman itu sekali gus menjawab spekulasi sebelum ini yang mengaitkan pemain itu bakal meninggalkan pasukan pada musim baharu nanti yang dijadualkan bermula 10 Mei ini.

"Saya tegaskan pemain itu (Azam Azmi) kekal menyarung jersi skuad TFC bagi musim 2024/2025, maknanya pemain itu boleh beraksi menentang mana-mana pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

"Jadi dengan jawapan itu, kami mengharapkan tidak lagi timbul spekulasi yang mengaitkan pemain pertahanan kanan itu meninggalkan pasukan pada musim ini.

"Lagipun pemain itu sudah bersama pasukan menjalani latihan pertama sejak 15 Februari lalu bawah kendalian ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner," kata Mohd Sabri.

Berdasarkan rekod, pemain berketinggian 1.74 meter itu mula menyarung jersi TFC pada 2020 dengan meledak tiga jaringan sepanjang 81 penampilannya bersama skuad Penyu itu.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu juga pernah membantu skuad Piala Belia Terengganu muncul juara pada 2019 selain pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Bawah 19 Tahun (B-19), B-22 dan B-23 selain skuad senior kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 12:50 PM