Kpah Sherman. FOTO File NSTP
Kpah Sherman. FOTO File NSTP
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd tidak mahu mengambil sikap terburu-buru mengikat pemain kebangsaan Liberia, Kpah Sherman bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan itu musim depan.

Sebaliknya pihak pengurusan skuad Penyu itu mahu memperhalusi terlebih dahulu perbincangan mengenai kontrak dengan penyerang Kedah Darul Aman FC (KDAFC) musim ini sebelum mengikat pemain berusia 29 tahun itu.

Menurut sumber TFC Sdn Bhd, Sherman sememangnya berada dalam radar pasukan dan perbincangan awal sudah diadakan lebih-lebih lagi pemain itu juga dikatakan berminat untuk menyarung jersi TFC.

"Namun ianya masih belum mencapai kata putus sama ada pemain itu bakal menyarung jersi pasukan TFC musim depan ataupun sebaliknya walaupun pemain itu berminat untuk beraksi bersama skuad Penyu.

"Jadi keputusan muktamad berkaitan status pemain itu masih belum dapat diumumkan lagi kerana kita tidak mahu mengambil sikap terburu-buru dalam memilih pemain import.

"Lagipun kita perlu melakukan perbelanjaan berhemah, jika pasukan mampu untuk membayar gajinya, pemain itu hampir pasti bakal diikat TFC, tapi jika TFC tidak mampu menanggung kos, mungkin kita terpaksa melupakan hasrat untuk mengambil penyerang itu," kata sumber itu.

Terdahulu dalam laman sosial peribadi pemain itu, Sherman yang mula beraksi dalam pentas Liga Malaysia (Liga M) pada 2107 bersama pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan KDAFC, namun tidak menyatakan destinasinya musim depan.

Bagaimanapun spekulasi bertiup kencang mengaitkan pemain berketinggian 1.83 meter itu bakal berhijrah ke Terengganu walaupun ada tiga lagi pasukan yang berminat untuk mendapatkan penyerang itu.

Berdasarkan rekod, pemain yang sudah lima musim beraksi dalam saingan Liga M pernah beraksi bersama pasukan PKNS FC pada 2018 sebelum berkelana ke Utara dengan menyarung jersi pasukan Lang Merah selama dua musim bermula 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 3:22 PM