Legenda bola sepak Argentina Diego Maradona. FOTO File AFP
Legenda bola sepak Argentina Diego Maradona. FOTO File AFP
AFP

Buenos Aires: Tujuh individu sedang disiasat kerana berdepan pertuduhan melakukan pembunuhan yang dirancang berhubung kematian legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona pada November lalu, menurut sumber kehakiman kepada AFP.

Tertuduh, termasuk pakar bedah Maradona, Leopaldo Luque, pakar psikiatri, Agustina Cosachov dan pakar psikologi, Carloz Diaz kini berdepan hukuman penjara antara lapan hingga 25 tahun jika didapati bersalah.

Dakwaan itu dibuat berdasarkan penemuan oleh lembaga pakar mengenai kematian Maradona akibat serangan jantung tahun lalu, kata sumber daripada Pejabat Peguam Negara San Isidro, yang mengetuai siasatan pada Rabu.

Laporan itu menyebut bahawa ikon bola sepak berkenaan tidak mendapat rawatan perubatan yang mencukupi dan dibiarkan dalam 'tempoh menyakitkan yang berpanjangan' sebelum kematiannya, hanya beberapa minggu selepas menjalani pembedahan membuang darah beku pada otak.

"Selepas banyak ketidakadilan, kes ini semakin hampir untuk diselesaikan," kata sumber kepada AFP.

Tertuduh dilarang meninggalkan negara dan perlu hadir pada sesi perbicaraan yang ditetapkan pada 31 Mei dan 14 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 10:21 PM