TANG Jie (kiri) dan Ee Wei mara ke pusingan kedua.FOTO ASWADI ALIAS
TANG Jie (kiri) dan Ee Wei mara ke pusingan kedua.FOTO ASWADI ALIAS
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak perlu bermandi peluh untuk menempah tiket ke pusingan kedua Masters Indonesia apabila lawan dari Taiwan, Ye Hing Wei-Lee CHia Hsin menarik diri.

Mereka yang diletakkan sebagai pilihan keenam kejohanan akan berdepan wakil tuan rumah, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati selepas menewaskan rakan senegara, Adnan Maulana-Nita Violina Marwah 21-9, 21-10 di pusingan kedua.

Di atas kertas, Tang Jie-Ee Wei dilihat tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir yang mana mereka kini mendahului rekod pertemuan dengan 2-0 dan kali terakhir bertemu di Masters Orleans, tahun lalu.

Tang Jie-Ee Wei memulakan kempen 2024 terkandas di pusingan kedua Terbuka Malaysia sebelum turut mengalami nasib sama di Terbuka India yang melabuhkan tirainya, minggu lalu.

Kejohanan berstatus Super 500 turut menyaksikan beberapa wakil negara meneruskan perjuangan yang mana Malaysia sudah pasti mempunyai wakil di suku akhir dalam acara beregu campuran apabila dua wakil beregu profesional negara akan berentap sesama sendiri.

Chan Peng Soon-Cheah Yee See akan berdepan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing di pusingan kedua selepas berjaya mengatasi lawan masing-masing.

Kejayaan beregu campuran negara itu bagaimanapun gagal dituruti pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei yang tewas 9-21, 11-21 di tangan pilihan keenam dari China, Han Yue.

Turut mengikuti jejak Jin Wei adalah K Letshanaa yang tewas di tangan wakil tuan rumah, Putri Kusuma Wardani 17-21, 12-21 dalam tempoh 40 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 4:36 PM