EE Wei (kiri) dan Tang Jie berjaya mara ke pusingan kedua BAC di Dubai. FOTO GENES GULITAH
EE Wei (kiri) dan Tang Jie berjaya mara ke pusingan kedua BAC di Dubai. FOTO GENES GULITAH
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto akan mempertaruhkan segala-galanya untuk memastikan kemenangan berpihak kepada beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila turun pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Dubai.

Mereka yang melakarkan kejutan menewaskan pilihan ketujuh dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun malam semalam akan berdepan pasangan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti esok.

Nova berkata, dia sudah mempunyai resipi untuk membantu Tang Jie-Ee Wei menewaskan bekas juara Seluruh England, Praveen-Daeva Oktavianti, pemain yang pernah berada di bawah bimbingan Nova ketika bergelar ketua jurulatih beregu campuran skuad badminton Indonesia sebelum dia berhijrah ke Malaysia, awal tahun ini.

"Saya pernah melatih Praveen-Melati dan saya tahu bertemu mereka bukan satu yang mudah.

"Tapi saya tahu corak permainan mereka dan saya akan bincang dengan Tang Jie-Ee Wei cara terbaik untuk membantu mereka menang dan layak ke pusingan seterusnya," katanya.

Terdahulu momentum Tang Jie-Ee Wei selepas merangkul gelaran Masters Orleans awal bulan ini berterusan apabila menewaskan Won Ho-Na Eun 21-14, 21-13 pada aksi pusingan pertama.

Mengulas mengenai kemenangan itu, Nova berkata ia adalah usaha keras dan hasil persiapan rapi yang dilakukan kedua-dua pemain bagi berdepan lawan berkenaan.

"Mereka sudah belajar daripada pertemuan sebelum ini ketika di Terbuka Jerman (bulan lalu). Tang Jie-Ee Wei tewas pasangan Korea itu di suku akhir.

"Jadi mereka buat kajian dan persiapan supaya apa yang berlaku tidak berulang," katanya. Turut mara ke pusingan 16 terakhir adalah beregu profesional negara yang juga pilihan kelapan Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Soon Huat-Shevon mempamerkan kebangkitan apabila bangkit daripada ketinggalan 11-15 meraih 10 mata berturut-turut sebelum mengesahkan kemenangan 15-21, 22-20, 21-15 ke atas pemain Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin.

Menanti Soon Huat-Shevon ialah beregu China Cheng Xing-Chen Fang Hui yang menewaskan pemain Hong Kong, Reginald Lee-Ng Tsz Yau 18-21, 21-19, 21-19.

Sementara itu perjalanan beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang menghuni ranking ke-13 dunia terhenti selepas tewas 21-17, 21-13 kepada juara Terbuka Switzerland, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China 21-17 21-13.

Ia adalah penyingkiran pusingan pertama kelima mereka dalam tujuh kejohanan tahun ini.

Turut mara ke pusingan kedua beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menundukkan beregu India, P S Ravikrishna-Sankar Prasad Udayakumar 21-12, 21-17.

Manakala satu lagi beregu campuran Chan Peng Soon- Cheah Yee See tewas kepada Rohan Kapoor-Reddy Sikki 12-21, 16-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 5:42 PM