AKSI Nur Izzuddin (kiri) dan Sze Fei ketika menentang pemain Thailand, Supak Jomkoh dan Kittinupong Kedren, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
AKSI Nur Izzuddin (kiri) dan Sze Fei ketika menentang pemain Thailand, Supak Jomkoh dan Kittinupong Kedren, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi & Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei menceriakan penyokong negara apabila menjadi wakil pertama untuk hari ini layak ke pusingan seterusnya selepas menewaskan wakil Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren 21-17, 22-20 di Axiata Arena, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Namun bagi Izzuddin-Sze Fei, mereka akui ia bukan sesuatu yang mudah apabila lawan cuba bangkit memberi tentangan untuk menang di set kedua tetapi berjaya menafikannya bagi perlawanan diheret ke set penentuan.

"Pihak lawan dapat peluang untuk menyerang kami dan mengejar mata demi mata namun kami lajukan permainan dan akhirnya kami berjaya menyusun semula taktikal untuk menang perlawanan ini.

"Bermain di halaman sendiri, di hadapan penyokong sendiri memberi semangat tambahan kepada kami dan untuk perlawanan hari ini semua berjalan lancar.

"Untuk perlawanan seterusnya, kami akan analisis permainan hari ini dan lihat apa kesilapan harus dibetulkan dalam perlawanan seterusnya dan kami tidak kisah bertemu dengan siapa sebab yang penting kami akan berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan," kata mereka selepas pusingan pertama Terbuka Malaysia, hari ini.

Sementara itu, dalam perlawanan tadi, wakil negara itu kelihatan sedikit hilang tumpuan seketika apabila mereka sudah mendahului agak jauh tetapi membiarkan lawan mengejar sebelum mereka pantas menukar taktikal untuk mencatat kemenangan di hadapan penonton sendiri.

Di pusingan kedua esok, Izzudin-Sze Fei akan bertemu sama ada beregu nombor tiga dunia yang juga wakil negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik atau pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 6:01 PM