AKSI Sze Fei (kanan) dan Nur Izzuddin.
AKSI Sze Fei (kanan) dan Nur Izzuddin.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meneruskan rentak cemerlang ke suku akhir selepas berjaya menundukkan lawan dari China, He Jiting-Ren Xiangyu di pusingan kedua dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China.

Masih segar dengan kejayaan menyingkirkan beregu terbaik dunia semalam, Sze Fei-Izzuddin ternyata berada di kelas tersendiri apabila mempamerkan aksi begitu konsisten untuk mencatat kemenangan 21-11.

Namun begitu, lawan mereka yang berada di ranking ke-11 dunia itu tidak dapat meneruskan perjuangan selepas mengalami kecederaan sekali gus memberi kemenangan mudah untuk wakil negara ke pusingan seterusnya.

Semalam, mereka mencipta kejutan dengan mengalahkan juara dunia dari Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dengan kemenangan straight set 21-13 dan 21-18 dalam tempoh 44 minit.

Di suku akhir esok, wakil negara yang berada di ranking ke-19 dunia itu akan bertemu dengan pasangan dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin yang turut mara selepas mereka mengalahkan wakil Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren 21-11,21-14.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 3:33 PM