AARON-WOOI YIK tewas kepada beregu China Ji Ting-Hao Dong. FOTO Photo Badminton
AARON-WOOI YIK tewas kepada beregu China Ji Ting-Hao Dong. FOTO Photo Badminton
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kempen beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Masters Indonesia berakhir apabila terkandas di suku akhir, hari ini.

Pilihan keempat kejohanan itu seakan tidak mempunyai jawapan apabila tewas 17-21, 10-21 di tangan wakil China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong hanya dalam tempoh 39 minit.

Berlangsung di Stadium Istora Senayan, Aaron-Wooi Yik dilihat mampu memberi saingan pada set pertama namun gagal untuk meraih kemenangan di set kedua sekali gus tewas straight set.

Kekalahan itu menjadikan rekod kemenangan antara mereka kini terikat 1-1 dengan sebelum ini, Aaron-Wooi Yik diberi tentangan sengit, diheret ke set penentuan di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 sebelum melakar kemenangan 18-21, 21-12, 21-18.

Keputusan terbaru itu pastinya bukan sesuatu yang diingini oleh Aaron-Wooi Yik selepas muncul naib juara Terbuka India minggu lalu selepas tewas di tangan gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-14, 19-21, 18-21.

Namun juara dunia itu dapat membalas kekalahan berkenaan dengan menewaskan lawan sama di pusingan kedua, semalam.

Indonesia Masters adalah kejohanan ketiga berturut-turut disertai Aaron-Wooi Yik selepas memulakan kempen 2023 dengan langkah kiri apabila terkandas di pusingan kedua Terbuka Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 4:46 PM