WOOI Yik (kiri) dan Aaron tewaskan wakil Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho. FOTO AFP
WOOI Yik (kiri) dan Aaron tewaskan wakil Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho. FOTO AFP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bergelut untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang tidak menghalang beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melepasi halangan pusingan pertama Terbuka China.

Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan berjaya mara ke pusingan kedua selepas menumpaskan wakil Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho 21-10, 25-23.

"Ia agak okay, sebenarnya kami perlu masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang. Ini disebabkan pada set pertama kami bermula dengan baik, apabila di set kedua taktikal yang diharapkan tidak menjadi," kata Wooi Yik selepas perlawanan sebentar tadi.

Ujar Wooi Yik, mereka cuba untuk bangkit perlahan-lahan dan bernasib baik berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan straight set.

Menanti mereka di pusingan kedua yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Changzhou, ialah pemenang di antara He Ji Ting-Zhou Hao Dong (China) dan Chang Ko Chi-Po Li Wei (Taiwan).

Mengiringi mereka di pusingan kedua ialah beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang mengalahkan Ren Xiang Yu-Tan Qiang 21-16, 23-21.

Mereka akan berdepan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark yang sebelum itu mengalahkan Lucas Corvee-Ronan Labar (Perancis) 21-17, 21-9.

Turut mara ke pusingan kedua ialah beregu wanita profesional, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien yang mengalahkan Rui Hirokami-Yuna Kato dari Jepun, 12-21, 21-11, 22-20.

Bagaimanapun, mereka bakal berdepan halangan sukar apabila perlu menentang pilihan kedua dari Korea Selatan, Baik Ha Na-Lee So Hee selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 7:15 PM