WEI Chong-Kai Wun Tee ketiak menentang beregu Korea, Kang Min Hyuk dan Seo Seung Jae pada final Malaysia Masters 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil.
WEI Chong-Kai Wun Tee ketiak menentang beregu Korea, Kang Min Hyuk dan Seo Seung Jae pada final Malaysia Masters 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun tidak mahu menoleh kebelakang lagi apabila memasang impian mahu merangkul gelaran dalam kejohanan lebih besar selepas berjaya mempertahankan kejuaraan di Terbuka Taiwan, Ahad lalu.

Wei Chong berkata, kejayaan di Taiwan baru-baru ini boleh dikatakan sebagai permulaan untuk mereka meraih kejayaan sulung dalam kejohanan bertaraf Super 500 dan ke atas.

Katanya, penting untuk dia dan Kai Wun mengekalkan momentum sudah dibina mereka bagi menyerlah di kejohanan lebih besar termasuklah saingan Terbuka Korea yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 23 Julai ini.

"Selepas ini kami akan beraksi di Terbuka Korea (Super 500), Terbuka Jepun (Super 750) dan Terbuka Australia (Super 500). Ketiga-tiga kejohanan ini kejohanan besar yang mana kami belum pernah meraih gelaran lagi.

"Jadi, kami harap boleh kekalkan momentum yang ada sekarang dan beraksi dengan lebih baik lagi," katanya.

Mengikut rekod, saingan Terbuka Jepun dijadual berlangsung dari 25 hingga 30 Julai manakala Terbuka Australia (1 hingga 6 Ogos).

Wei Chong-Kai Wun yang kini menghuni ranking ke-23 dunia hampir meraih gelaran pertama mereka dalam kejohanan Super 500 sebelum akur tewas di pentas final Masters Malaysia di tangan beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.

Bagaimanapun, Wei Chong berkata, mereka berpeluang menebus kekecewaan di atas kekalahan berkenaan apabila dijadual menentang lawan sama di pusingan pertama Terbuka Korea.

"Kami perlu melakukan persiapan lebih baik berbanding sebelum ini. Kami akan melakukan analisis permainan mereka. Kami tidak mahu fikir mengenai balas dendam kerana apa yang paling penting kami buat yang terbaik untuk cuba memenangi perlawanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 3:41 PM