MISBUN ditawarkan supaya menyambung tugas sebagai pengarah pembangunan remaja sehingga hujung tahun ini. FOTO FATHIL ASRI
MISBUN ditawarkan supaya menyambung tugas sebagai pengarah pembangunan remaja sehingga hujung tahun ini. FOTO FATHIL ASRI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ternyata serius supaya isu dengan legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek tidak lagi timbul pada masa akan datang apabila sudah mengemukakan surat tawaran kepadanya, petang semalam.

Situasi terbabit disahkan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai yang memaklumkan pihaknya sudah menghantar surat tawaran kepada Misbun selaku pengarah pembangunan remaja sehingga hujung tahun ini.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya menunggu jawapan daripada Misbun sama ada menerima atau menolak tawaran terbabit sebelum mengeluarkan kenyataan lanjut berkaitan situasi terbabit.

"Kami sudah hantar surat tawaran petang semalam menerusi emel dan WhatsApp.

"Malah, saya ada bercakap dengan Datuk Misbun berkaitan tawaran itu sebelum dia meminta Nor Kamal Ahmad (pengurus peribadi Misbun) mengambil surat di BAM.

"Datuk Misbun tak ada bercakap lebih lanjut mengenai tawaran itu. Cuma sekarang kami tunggu saja jawapan daripada beliau," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Misbun mahu menunggu surat rasmi daripada badan induk itu terlebih dahulu sebelum memberi sebarang komen lanjut.

Sebelum ini, Misbun 'terasa hati' terhadap tindakan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang seolah-olah lepas tangan selepas jawatankuasa khas dipengerusikan Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam memutuskan menamatkan kontraknya lebih awal.

Berikutan menjernihkan keadaan, Norza yang mengakui mempunyai hubungan istimewa dengan Misbun tampil membuat permohonan maaf sambil menjelaskan wujud masalah komunikasi antara kedua-dua pihak sehingga wujudnya konflik.

Malah, Norza berbesar hati menawarkan Misbun kembali menggalas tanggungjawab selaku pengarah pembangunan remaja sehingga kontrak asalnya tamat hujung tahun ini dan jika tidak berminat, pihaknya sedia bertemu dengan jurulatih itu bagi menyelesaikan kemelut yang melanda supaya tiada pihak teraniaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 12:34 PM