TANGAN Pearly (kanan) cedera kerana terjatuh. FOTO Ihsan Badminton Photo
TANGAN Pearly (kanan) cedera kerana terjatuh. FOTO Ihsan Badminton Photo
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Penamat yang tidak diinginkan oleh beregu nombor satu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah apabila terpaksa melupakan hasrat untuk mara lebih jauh di Terbuka Singapura.

Pearly-Thinaah terpaksa menarik diri di Terbuka Singapura apabila Pearly mengalami kecederaan tangan kanan selepas terjatuh ketika menentang Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun di pusingan pertama.

Insiden itu berlaku ketika gandingan negara ketinggalan 13-21, 21-17, 9-16.

Pearly dilihat mula memegang tangannya ketika mereka ketinggalan di kedudukan 9-14 yang akhirnya memutuskan untuk menarik diri.

Ketua jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun masih belum dapat memaklumkan sejauh mana tahap kecederaan yang dialami oleh Pearly.

"Tangan Pearly cedera kerana terjatuh. Sekarang ini sejauh mana tahap kecederaannya masih belum dapat diputuskan.

"Kami akan tunggu keputusan daripada fisioterapi dahulu," katanya.

Pada September tahun lalu, Pearly yang juga juara Terbuka Perancis mengalami kecederaan hamstring dan tendon lutut kiri ketika beraksi di pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Jepun.

Sementara itu pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong berjaya mempamerkan aksi mantap untuk menewaskan pemain Ireland, Nhat Nguyen 21-17,18-21, 21-15.

Kejayaan Tze Yong itu turut dituruti beregu profesional lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang tidak berdepan masalah menundukkan pasangan Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov.

Mereka hanya memerlukan 31 minit untuk menang 21-18, 21-13 seterusnya menempah tiket ke pusingan kedua.

Kejayaan beregu lelaki negara itu bagaimanapun gagal dituruti beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang tewas kepada beregu Korea Selatan Kim Won Ho-Jeong Na Eun, 21-12, 21-14, 21-10.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 4:47 PM